Seorang pelajar Sekolah Menengah. Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK) meninggal dunia ketika bertadarus al-Quran bersama rakan-rakannya pagi tadi.

Pelajar itu, Mohammad Iqbal Ku Mohd Akhir, 14, rebah dan tidak sedarkan diri di surau sekolah itu selepas membaca surah bahagiannya, kata guru sekolah berkenaan.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.35 pagi.

"Tiba-tiba dia jatuh dan melunjur perlahan dibantu oleh ustaz-ustaz yang lain," kata Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum SMKAK, Johari Jaafar.

Guru-guru yang ada di surau itu cuba menyelamatkan pelajar itu. Mereka juga menghubungi ambulans untuk bantuan. Kakitangan perubatan yang tiba lebih kurang 15 minit kemudian mengesahkan beliau sudah meninggal dunia.

Jenazahnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat. Ahli keluarganya kemudian menuntut jenazah untuk disempurnakan dan dikebumi.

Pelajar sekolah agama itu menganjurkan tadarus al-Quran setiap hari sebagai antara program untuk mengimarahkan Ramadan.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi kediaman Allahyarham di Kampung Alor Buluh, Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar yang dipenuhi oleh sanak-saudara serta rakan taulan yang hadir untuk memberikan penghormatan akhir.

Ibu dan ayah Allahyarham enggan ditemui oleh media.

Jenazah anak bongsu daripada lima beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelam di Jalan Datuk Kumbar selepas sembahyang Asar.