LANGKAWI: Satu petikan klip video tular yang memaparkan seorang pelajar dipukul oleh beberapa orang pelajar lain disahkan berlaku di salah sebuah sekolah di Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari yang mengesahkan kejadian berkata susulan itu seorang pelajar lelaki tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi hari ini, mendakwa dipukul oleh beberapa pelajar lain.

Katanya, hasil keterangan daripada mangsa yang berusia 16 tahun itu mangsa memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi 27 April 2022 (semalam) di dalam sebuah kelas.

Shariman memaklumkan punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham.

"Pada pagi Khamis terkesan satu video tular memaparkan seorang pelajar dipukul oleh beberapa orang pelajar lain yang mana disahkan ia berlaku di Langkawi.

"Satu laporan polis juga telah diterima daripada mangsa yang berumur 16 tahun dan mangsa telah dirujuk ke hospital sebaik menerima laporan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mangsa kemudian telah dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha sebaik selesai membuat laporan polis.

Jelas beliau, polis sedang mengenal pasti pelajar yang terlibat dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Pada Khamis, tular satu video berdurasi 25 saat kejadian buli di sebuah sekolah di Langkawi yang memaparkan seorang pelajar dipukul oleh beberapa pelajar lain termasuk dibaling meja.