Lebih seribu pelajar negeri ini yang kini melanjutkan pelajaran di Mesir dan Jordan didapati bebas daripada sebarang pengaruh dan aktiviti kumpulan militan Daish.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Abdul Mutalip Abdul Rahim berkata kegiatan pelajar di bawah tajaan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu, sentiasa dalam pantauan dua pegawai khasnya di sana.

Beliau berkata sekiranya ada pelajar yang didapati terlibat, tindakan perundangan akan diambil dan tajaan mereka akan ditamatkan.

"Setakat ini, tidak ada pelajar kita dalam tajaan negeri Johor, terlibat dengan IS (Islamic State atau Daish) (sama ada) di Al-Azhar, Mesir atau di Jordan.

"Kalau ikutkan, lebih 1,000 pelajar kita di sana. Nasihat saya, fokus pada pendidikan (dan) jangan hampakan amanah (pada) diri sendiri, amanah kepada Allah dan Rasul, amanah keluarga dan amanah bangsa Johor," kata Mutalip kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis amanat dan penyampaian sumbangan kepada pelajar negeri ini yang melanjutkan pelajaran ke Mesir dan Jordan 2016/2017 di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri di sini.

Turut hadir, Penasihat MAINJ Datuk Noh Gadut, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ Md Rofiki Shamsudin dan Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin.

Untuk sesi 2016/2017, seramai 70 pelajar diberi bantuan menerusi kutipan zakat dengan membiayai tiket penerbangan bernilai RM278,600 serta wang sagu hati RM1,000 seorang.

Kesemua mereka yang bakal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Julai ini, bakal mengikuti pengajian Islam dalam bidang Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab dan Ulum Islamiah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri Terengganu, Ghazali Taib berkata kesemua 64 buah sekolah pondok persendirian di negeri itu bebas dari anasir ekstrem atau pelampau agama Islam dan ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Walaupun terdapat beberapa kes melibatkan rakyat Terengganu dengan fahaman ekstrem kumpulan pelampau Islam sebelum ini, ia berlaku di luar negeri itu dan tidak direkrut secara terus di Terengganu.

"Setakat ini semua 64 sekolah pondok persendirian di Terengganu memang dipantau oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) merangkumi pelbagai aspek terutama silibus dan tahap keselamatan sekolah dan asrama.

"Kerajaan negeri juga berpuas hati dengan perjalanan pentadbiran sekolah pondok persendirian di Terengganu bahkan sebahagian besarnya telah pun berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia dan mendapat bantuan kewangan dari kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa sekolah pondok persendirian di Kuala Terengganu hari ini.

Sementara itu, pengasas sebuah sekolah pondok persendirian iaitu Madrasah al Hidayah, dekat Kuala Terengganu, Mustaffa Kamal Hamzah berkata pihaknya sentiasa memastikan didikan yang diberi kepada pelajar tidak terpesong dari akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, sejak beroperasi lapan tahun lalu, beliau bersama mudir di madrasah yang lain sentiasa berbincang untuk memastikan tiada anasir luar dapat masuk ke sekolah-sekolah pondok di negeri itu untuk menyebarkan fahaman songsang.