Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pelajar kolej dapat upah RM1,000 simbah cat, baling molotov cocktail

Mohd Alwi (kiri) menunjukkan beberapa gambar dari tangkap layar CCTV memperlihatkan suspek melakukan perbuatan khianat menggunakan cat dan botol berisi petrol yang dibaling ke arah rumah mangsa. - Foto Sinar Harian
Mohd Alwi (kiri) menunjukkan beberapa gambar dari tangkap layar CCTV memperlihatkan suspek melakukan perbuatan khianat menggunakan cat dan botol berisi petrol yang dibaling ke arah rumah mangsa. - Foto Sinar Harian

Advertisement

IPOH: Dua pelajar kolej antara tiga lelaki tempatan yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat dan membaling botol berisi petrol yang dibakar di beberapa negeri sejak September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata ketiga-tiga suspek berusia 19 tahun itu ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Pulau Pinang pada 22 Oktober lalu.

Menurutnya, seorang daripada mereka bekerja sebagai penjaga stor, manakala dua lagi merupakan pelajar kolej.

“Hasil soal siasat mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam kegiatan khianat di beberapa lokasi dengan menerima upah antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap tindakan.

“Mereka menerima arahan daripada individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp dan bayaran dibuat melalui akaun bank,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Selasa.

Mohd Alwi berkata, bagi setiap perbuatan menyimbah cat, suspek dipercayai menerima upah RM500, manakala tindakan membaling botol berisi petrol yang dibakar dibayar RM1,000.

Katanya, siasatan mendapati suspek mengambil gambar selepas melakukan perbuatan berkenaan sebagai bukti kepada pihak yang mengupah mereka sebelum bayaran dimasukkan ke dalam akaun masing-masing.

Beliau berkata, polis turut mengesan seorang lagi individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan dan sedang giat mengesannya.

“Motif sebenar penglibatan mereka masih dalam siasatan, termasuk bagaimana mereka direkrut untuk melakukan kegiatan jenayah ini.

“Kita juga masih berusaha mengesan individu yang menjadi dalang dan mengupah mereka kerana setakat ini identitinya belum dikenal pasti,” katanya.

Menurutnya, kegiatan kumpulan itu dipercayai bermula pada September lalu dengan mereka bergerak secara serentak dan melakukan perbuatan khianat di beberapa negeri, termasuk dua hingga tiga negeri pada hari yang sama.

Beliau berkata, hasil penahanan itu polis berjaya menyelesaikan sembilan kes khianat di lima negeri iaitu Perak (dua kes), Kedah (tiga kes), Johor (dua kes), Pulau Pinang (satu kes) dan Selangor (satu kes).

Bagi kes di Perak, kejadian pertama dilaporkan pada 19 September lalu membabitkan sebuah rumah di Taman Pura Jaya, Simpang, Taiping apabila dua lelaki dipercayai menyimbah cat merah sebelum membaling botol berisi petrol yang dibakar ke arah rumah mangsa.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kedua pada 10 Oktober lalu, dua lelaki dipercayai menyimbah cat merah ke sebuah rumah di Taman Sri Larut, Simpang, Taiping termasuk rumah jiran mangsa. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Mohd Alwi berkata, dalam serbuan yang dijalankan di Pulau Pinang, polis merampas tiga telefon bimbit, pakaian yang dipercayai digunakan ketika kejadian serta tiga kenderaan iaitu Proton X70 berwarna kelabu, Nissan Teana berwarna putih dan Honda City berwarna hitam.

Katanya, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 435 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda.

“PDRM Perak akan terus mempergiat usaha risikan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan jenayah seumpama ini.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui sebarang aktiviti jenayah di kawasan masing-masing,” katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement