SAN FRANCISCO: Syarikat penyelidikan dan keselamatan kecerdasan buatan (AI), Anthropic, memfailkan Borang S-1 kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat bagi melaksanakan penawaran awam awal (IPO) di Nasdaq.
Syarikat yang membangunkan model AI Claude itu bercadang menyenaraikan saham Kelas A di Nasdaq Global Select Market di bawah kod dagangan ANT, lapor Amanz.
Pemfailan itu dibuat ketika Anthropic dilihat sebagai antara syarikat AI paling bernilai di dunia, dengan beberapa laporan media kewangan menyebut penilaian syarikat itu berpotensi melepasi AS$2 trilion selepas penyenaraian.
IPO berkenaan diterajui Goldman Sachs dan Morgan Stanley, namun jumlah saham serta julat harga tawaran masih belum diumumkan.
Menurut dokumen yang difailkan kepada SEC, Anthropic mencatat pendapatan AS$16.3 bilion (kira-kira RM76.6 bilion) bagi enam bulan pertama 2026, meningkat daripada AS$1.2 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Syarikat itu turut melaporkan kerugian bersih AS$80.7 bilion (kira-kira RM379 bilion), namun sebahagian besar daripadanya berpunca daripada caj perakaunan bukan tunai berjumlah AS$72.4 bilion berkaitan perubahan nilai instrumen boleh tukar milik pelabur.
Selepas pelarasan dibuat, kerugian operasi syarikat dianggarkan sekitar AS$693 juta (kira-kira RM3.25 bilion).
Penyenaraian Anthropic dijangka menjadi antara ujian terbesar terhadap selera pelabur global terhadap syarikat AI ketika industri itu terus meningkatkan perbelanjaan bagi pembangunan model, pusat data dan infrastruktur pengkomputeran berskala besar.