Seorang pelajar Libya hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan bunuh dan menyebabkan kematian ke atas seorang pekerja Telekom Malaysia Bhd (TM) Unifi di Shaftsbury Square, Cyberjaya.

Tertuduh, Ahmed Abdullah Ali, 24, didakwa menyebabkan kematian Wan Amirah Wan Alias, 31, di Shaftsbury Square, Cyberjaya pada 7.35 malam, 17 Okt lalu.

Pelajar tahun akhir di sebuah universiti antarabangsa itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

BACA: Tragedi langgar lari Cyberjaya: Berang dilarang parkir di petak OKU rupanya

BACA: Tragedi langgar lari Cyberjaya: Wanita melintas jalan maut dirempuh

Mahkamah menetapkan 7 Dis ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia, bedah siasat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aziat Afrizan Alias manakala tertuduh diwakili Mohd Redzuan Mohamed Yusoff, Nur Siti Fairuz Roslan dan Dinesh Muthal.

Dalam kes langgar lari pada 17 Okt itu, yang video kejadian tersebut tular, Wan Amirah yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.

Di Mahkamah Sesyen Sepang pula, Ahmed Abdullah didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid ke dalam dirinya pada 19 Okt lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada seorang pelajar asing di Cyberjaya pada 30 Ogos lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah menyebabkan kecederaan parah kepada Basel Giumaa El Maarfi, 20, dengan menggunakan sebilah pisau panjang di Hyve Soho Suite Cyberjaya kira-kira 4.45 pagi, 30 Ogos lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S. Abirami manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela yang sama.

Hakim Harith Shan Mohamed Yasin tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Dis untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA