SIBU: Seorang pelajar perempuan maut manakala rakannya cedera ringan selepas motosikal yang ditunggang mereka dilanggar lari oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti, ketika sedang mencari liputan internet di Jalan Julau-Nanga Entabai di Bahagian Sarikei dekat sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Andam@Sulin Brayun berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa dikenali sebagai Kemalia Fran George, 17, sedang membonceng motosikal yang ditunggangi rakan lelakinya Feisyia Erwin Jeffery, 20 tahun.

"Semasa kejadian, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan bergerak lurus menuju ke sebuah kawasan tapak perumahan baharu untuk mencari liputan internet, (sebelum) motosikal itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Julau, sementara jenis dan nombor pendaftaran kenderaan yang melanggar mereka masih belum dapat dikenal pasti.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkuktan Jalan 1987.

-- BERNAMA