KUALA LUMPUR: Penting untuk pelajar-pelajar didedahkan mengenai progres dalam kerjaya sebelum memilih sebarang pekerjaan untuk diceburi, kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pandai Education Sdn. Bhd., Khairul Anwar Mohamad Zaki.

Jelasnya, ia bukan soal pekerjaan yang bersifat tetap atau dalam bidang ekonomi gig semata-mata, sebaliknya isu mengembangkan potensi diri seiring pengalaman yang diraih.

“Jadi yang penting sebenarnya bukan pendedahan mengenai memilih antara kerja tetap atau kerja dalam ekonomi gig tetapi pendedahan yang sepatutnya kita berikan kepada pelajar adalah apa-apa kerja yang kita buat, kerja tetap atau gig ekonomi, mesti ada progres dalam kerjaya,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis

Khairul juga mendedahkan, hasil kajian mendapati 25 peratus daripada pemandu e-hailing keluar daripada ekonomi gig selepas pandemik COVID-19.

Jelasnya, mereka juga beralih kembali ke bidang kerjaya asal sebelum pandemik melanda.

“Ada kenyataan daripada Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia yang menyatakan terdapat penurunan sebanyak 10 peratus daripada jumlah penghantaran selepas pandemik COVID-19.

“Manakala, ada 25 peratus daripada pemandu ini yang keluar daripada ekonomi gig dan sebahagian daripada mereka kembali kepada pekerjaan asal sebelum COIVD-19. Jika hendak dikatakan kerja dalam ekonomi gig ini baik, mengapa perlu berpatah balik ke pekerjaan yang asal?” soalnyaa..

Menurut Khairul pekerjaan dalam ekonomi gig kebiasaannya tidak menawarkan progres dalam kerjaya memandangkan ia lebih bersifat pekerjaan jangka masa pendek atau pekerjaan sampingan semata-mata.

Pelajar perlu didedahkan mengenai kepentingan progres dalam kerjaya - CEO Pandai Education