SEREMBAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memohon pelajar untuk menjelaskan status kesihatan masing-masing kepada pihak sekolah sebelum menyertai sebarang program di dalam dan luar bilik darjah terutama melibatkan aktiviti fizikal.

Pengarah JPNS Datuk Dr Roslan Hussin berkata ibu bapa dan penjaga juga digesa memaklumkan status kesihatan anak mereka bagi memastikan segala maklumat berkaitan diambil maklum pihak sekolah sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Bagi pihak kita, semua prosedur telah dibuat sebelum sebarang aktiviti dilaksanakan termasuk memastikan semua peralatan dan keadaan cuaca diambil kira oleh pihak sekolah. Kita mematuhi sepenuhnya panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Gentam, Kuala Pilah dekat sini yang merupakan pesakit jantung berlubang, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa, semalam.

Berhubung perkara itu, Roslan berkata siasatan masih dijalankan dan orang ramai diminta tidak gusar dengan sebarang tindakan dilakukan pihak sekolah kerana segala perubahan adalah bagi memastikan program pendidikan dilaksanakan dengan baik.

Beliau turut meminta supaya diberikan kepercayaan kepada guru kerana golongan itu sentiasa memastikan elemen keselamatan dalam setiap aktiviti kokurikulum dan kurikulum sama ada di peringkat sekolah dan luar sekolah dipatuhi.

"Guru-guru telah diberikan panduan sewajarnya, JPNS juga sentiasa memastikan guru mematuhi Surat Pekeliling dan mana-mana yang didapati tidak patuh kepada peraturan berkenaan akan diambil tindakan tegas," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah DSP Syahrul Anuar Abdul Wahab semalam dilaporkan berkata keterangan bapa pelajar itu mendapati anaknya menghidap jantung berlubang pada 2016 dan mempunyai kad rawatan dari Institut Jantung Negara (IJN) selain sentiasa dibekalkan dengan ubat-ubatan.

-- BERNAMA