JASIN: Seorang pelajar Tingkatan Tiga ditahan polis selepas dipercayai merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sebuah rumah di Bemban di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya yang berusia 43 tahun sebelum wanita berkenaan tampil membuat laporan polis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu telah menjadi mangsa seksual oleh remaja berkenaan sejak pertengahan tahun lalu.

“Suspek dikatakan telah melakukan amang seksual fizikal dan merogol mangsa kira-kira pukul 4 hingga 5 petang Sabtu lalu, semasa berada di sebuah rumah di kawasan Bemban.

"Manakala dalam kejadian terbaharu berlaku kira-kira pukul 5 pagi semalam yang mana mangsa telah mengambil kanak-kanak perempuan itu di rumah datuknya di Bemban, Jasin dan membawa ke rumahnya di Chohong sebelum melakukan amang seksual fizikal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian menceritakan hal berkenaan kepada ibunya sebelum mangsa menyerah diri di Balai Polis Jasin kira-kira pukul 4 pagi Isnin.

Katanya, suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Ahad dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.