KUALA LUMPUR: Pelajar wanita dari Universiti Malaya (UM) Farah Hannan Abd Nasir dipilih sebagai wakil tunggal Malaysia ke pertandingan di peringkat antarabangsa, Young Person's World Lecture Competition (YPWLC), yang akan diadakan November depan.

UM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelajar program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Penyelidikan Bahan Dimensi Rendah (LDMRC), Fakulti Sains universiti itu akan menerima penajaan penuh dari Institute of Materials, Minerals and Mining (IOM3) United Kingdom (UK).

Menurut UM, pemilihan Farah Hannan, 27, ke pertandingan YPWLC itu berikutan kejayaan pelajar tersebut muncul sebagai juara di peringkat kebangsaan dalam Materials Lecture Competition (MLC) 2021.

Kejayaan Farah Hannan itu juga menjadikan kejuaraan milik universiti berkenaan untuk tiga tahun berturut-turut dalam pertandingan MLC, seterusnya layak mewakili Malaysia ke YPWLC dan UM pernah meraih tempat kedua dalam pertandingan antarabangsa itu.

Farah Hannan dalam kenyataan tersebut berkata YPWLC merupakan antara landasan untuk beliau berkongsi projek penyelidikan kepada audiens yang lebih luas.

Farah Hannan berkata keyakinan dan kebolehan menyampaikan konsep yang kompleks dalam bentuk mudah difahami merupakan satu kemahiran yang sangat penting, terutamanya dalam bidang penyelidikan serta akademia.

"Diharap usaha saya ini menjadi pemangkin untuk saya berbakti kepada negara dan memberi impak kepada dunia. Saya juga ingin menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk turut sama memberanikan diri dengan mengambil bahagian dalam acara-acara seperti ini," katanya.

Menurut penyelia dan juga pensyarah di Fakulti Sains UM Prof Madya Dr Woon Kai Lin pula, beliau berharap Farah Hannan akan mengharumkan nama UM dan negara dengan memenangi tempat pertama di YPWLC.

MLC dianjurkan bersama Institute Materials Malaysia (IMM) dan IOM3 UK untuk mempromosikan kesedaran mengenai kepentingan kejuruteraan bahan serta kelestariannya dalam kemajuan teknologi dan manusia sejagat.

Menerusi pertandingan itu, penyelidik dan pelajar dari universiti awam dan swasta boleh memanfaatkannya sebagai landasan menunjukkan kemampuan serta keberkesanan mereka dalam menyampaikan hasil penyelidikan atau projek mereka kepada umum.

UM menyertai MLC sejak 2013 dan berjaya memasuki pusingan akhir peringkat kebangsaan itu sebanyak lapan kali.

-- BERNAMA