MALAYSIA
Pelaksanaan AATF bantu selesai isu kenderaan terbiar di Pulau Pinang - Anthony Loke

Kerjasama erat MBPP dalam merealisasikan projek ini turut mendapat sokongan penuh daripada agensi kerajaan di peringkat Persekutuan. - Gambar Facebook Anthony Loke
KUALA LUMPUR: Usaha menangani masalah lambakan kenderaan terbiar di negeri Pulau Pinang bakal diperkasakan menerusi pelaksanaan sistematik Authorised Automotive Treatment Facility (AATF) di bahagian utara Semenanjung Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif yang diterajui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu dibincangkan secara mendalam dalam satu kunjungan rasmi delegasi MBPP ke Kuala Lumpur baru-baru ini bagi menjalin kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan termasuk agensi persekutuan dan pengendali fasiliti automotif yang dilesenkan.
“Masalah kenderaan terbiar di Pulau Pinang bukan isu baharu. Ia telah sekian lama menjadi rungutan penduduk yang terkesan dengan pemandangan kawasan perumahan, kawasan perniagaan dan jalan awam yang dicemari oleh kenderaan usang, terbiar dan tidak bergerak.
"Lebih membimbangkan,kami difahamkan kenderaan ini turut menimbulkan risiko keselamatan, menjadi tempat pembiakan nyamuk dan menjejaskan imej bandaraya.“Dalam tempoh setahun, MBPP mensasarkan pelupusan sistematik bagi sekurang-kurangnya 2,000 unit kenderaan terbiar di sekitar Pulau Pinang melalui kerjasama dengan fasiliti AATF yang beroperasi di utara Semenanjung.Manakala, dalam jangka panjang, pendekatan ini diharap dapat dijadikan model rujukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di seluruh negara dalam menangani isu kenderaan terbiar secara lebih cekap dan mesra alam,” katanya.
Anthony berkata demikian dalam perkongsian di laman Facebooknya pada Jumaat.
Kata Anthony lagi, melalui pelaksanaan fasiliti AATF, kenderaan terbengkalai ini akan dilupuskan secara sistematik mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS) sekali gus mengurangkan impak pencemaran dan memastikan proses pelupusan mematuhi piawaian kelestarian alam.
“Dalam masa sama, inisiatif e-Dereg (Electronic Deregistration) akan membolehkan pemilik kenderaan menyelesaikan proses pembatalan pendaftaran tanpa perlu hadir secara fizikal ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Segala urusan boleh dilakukan secara dalam talian dan proses pelupusan seterusnya diserahkan kepada pihak AATF.
“Perkara ini bukan sahaja mempercepatkan proses pengeluaran kenderaan terbiar dari kawasan awam, malah mengurangkan kerenah birokrasi yang sebelum ini menjadi antara halangan utama bagi pemilik kenderaan,’katanya.
Kata Anthony lagi, kerjasama erat MBPP dalam merealisasikan projek ini turut mendapat sokongan penuh daripada agensi kerajaan di peringkat Persekutuan.
Pendekatan ini, jelasnya, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan tadbir urus bandar yang lebih efisien, digital dan mesra alam sekitar.
“Perbincangan ini amat bermakna dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah kenderaan terbiar di Pulau Pinang. Ia bukan sahaja berkait dengan aspek visual dan kebersihan, tetapi juga soal keselamatan dan kesejahteraan komuniti bandaraya,” tambah beliau.
Selain memberi kesan positif terhadap pemandangan dan persekitaran bandar, pelaksanaan AATF juga dijangka memberi impak ekonomi dengan membuka peluang pekerjaan baharu di sektor kitar semula automotif serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan sisa kenderaan secara lestari.
Dengan adanya pendekatan baharu ini, MBPP optimis Pulau Pinang akan menjadi antara negeri terawal di Malaysia yang berjaya mencapai bandaraya bebas kenderaan terbiar, sekali gus meningkatkan imej Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami