Skip to main content

Malaysia

Pelaksanaan penguatkuasaan penuh SLD bagi kenderaan perdagangan ditangguhkan - MOT

71633909120_trafik.jpg
Keputusan dibuat MOT mengambil kira maklum balas industri khususnya daripada syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang mempunyai jumlah kenderaan besar. - Gambar hiasan
Advertisement

PUTRAJAYA: Pelaksanaan penguatkuasaan penuh terhadap keperluan pemasangan dan pematuhan alat pengehad kelajuan (SLD) bagi kenderaan perdagangan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada industri melengkapkan proses pematuhan secara lebih teratur.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas industri khususnya daripada syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang mempunyai jumlah kenderaan besar dan masih dalam proses menjadualkan pemasangan SLD secara retrofit.

MOT turut mengambil maklum bahawa kerja-kerja pemasangan retrofit memerlukan perancangan teknikal, penjadualan kenderaan, pengesahan kebolehfungsian serta penyelarasan operasi supaya pematuhan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kelangsungan perkhidmatan dan rantaian logistik negara.

“Walau bagaimanapun, penangguhan ini tidak bermaksud pengecualian daripada kewajipan pematuhan.

“Semua syarikat pengendali, pemilik kenderaan perdagangan, operator logistik, pengusaha bas dan pihak berkaitan hendaklah terus mengambil langkah segera untuk memastikan kenderaan masing-masing dilengkapi SLD mengikut syarat dan spesifikasi teknikal yang ditetapkan,” menurut MOT dalam kenyataan hari ini.

MOT memaklumkan sebanyak 25 syarikat pemasang SLD retrofit telah dilantik dan maklumat syarikat berkenaan boleh dirujuk melalui portal JPJ.

Sepanjang tempoh ini, JPJ akan terus melaksanakan pemantauan pematuhan dan tindakan interim yang bersesuaian, termasuk pengeluaran Notis Temu Siasat atau Notis 114 kepada pemilik atau pengendali kenderaan dikenal pasti masih belum mengambil langkah pematuhan sewajarnya.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan industri terus bergerak ke arah pematuhan penuh tanpa menunggu hingga saat akhir.

“SLD merupakan komponen keselamatan penting bagi mengehadkan kelajuan maksimum kenderaan perdagangan, khususnya kenderaan berat dan kenderaan membawa penumpang,” menurut kenyataan itu.

MOT memaklumkan pelaksanaan SLD adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan risiko kemalangan maut, memperkukuh budaya pematuhan dan melindungi keselamatan semua pengguna jalan raya.

MOT menyeru semua pemain industri supaya menggunakan tempoh ini secara bertanggungjawab untuk mempercepat pemasangan SLD, mendapatkan pengesahan kebolehfungsian, memperbaharu dokumen berkaitan dan memastikan maklumat pematuhan dikemas kini kepada JPJ.

“Selepas tempoh pematuhan ini berakhir, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap mana-mana syarikat, pemilik atau pengendali kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi keperluan pemasangan dan pengesahan SLD mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

MOT juga ingin mengingatkan bahawa di bawah Belanjawan 2026, kerajaan telah menyediakan kemudahan Accelerated Capital Allowance (ACA) bagi membantu syarikat yang terlibat melaksanakan pemasangan SLD.

Sehubungan dengan itu, syarikat yang perlu memasang SLD secara retrofit digesa untuk memanfaatkan kemudahan ini dalam tempoh tersedia hingga 31 Dis tahun ini.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pelaksanaan penguatkuasaan pemasangan SLD secara berfasa bagi semua kenderaan perdagangan bermula Oktober 2025, terbahagi kepada tiga fasa.

Fasa 1 akan bermula pada 1 Okt melibatkan pengesahan kefungsian SLD bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Jan 2015 manakala Fasa 2 yang dikuatkuasakan bermula 1 Jan 2026 melibatkan pengaktifan SLD dalam Electronic Control Unit (ECU) bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina sebelum 1 Jan 2015. 

Fasa 3 pula membabitkan pemasangan peranti SLD secara retrofit (dengan pengesahan JPJ) bagi mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi dengan sistem berkenaan. Penguatkuasaan Fasa 3  bermula 1 Julai 2026.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement