KUALA LUMPUR: Satu mekanisme yang telus dan cekap diperlukan dalam pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan tiada yang tercicir serta terkesan.

Menurut Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mekanisme itu penting untuk diperhalusi kerana subsidi telah 'melekat' dalam ekonomi sebagai komponen struktural.

"Subsidi kerajaan tidak hanya tertumpu kepada sektor dan segmen tertentu sahaja, malah merentas keseluruhan sektor dan pasaran termasuklah pasaran buruh.

"Justeru, saya ingin bertanya apakah mekanisme yang akan digunakan oleh kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar pada tahun hadapan kerana ia tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2024.

"Sewaktu Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan ini dibawah Tun Dr Mahathir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ketika itu adalah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan kerajaan ingin memperkenalkan subsidi bersasar tetapi sehingga hari ini belum diperkenalkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu bekas Perdana Menteri itu turut membangkitkan persoalan adakah sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan menjadi pangkalan data untuk memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak telah bersedia.

"Adakah sistem ini telah diuji keberkesanannya kerana kita hanya mempunyai tempoh dua bulan sahaja sebelum ia dilancarkan.

"Persoalan seterusnya siapakah yang layak diberi subsidi bersasar? Sebagai contoh, jika dilaksanakan subsidi petrol secara bersasar, bagaimana kerajaan akan menentukan ciri-ciri mereka yang layak?

"Adakah melalui jumlah pendapatan bulanan atau kapasiti enjin kenderaan?" soalnya.

Ismail berkata, sewaktu menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP), pihaknya bercadang kereta mempunyai enjin kapasiti 2000cc ke bawah boleh mendapat subsidi.

"Tapi akhirnya pelbagai pandangan dan cadangan diberikan rakyat, banyak kereta mewah mempunyai enjin kapasiti 2000cc ke bawah.

"Sebagai contoh, orang kampung membeli kereta Volvo tapi kuasa enjinnya 3000cc, jadi berdasarkan kapasiti kereta Volvo tersebut, mereka tidak boleh mendapat subsidi.

"Terdapat banyak masalah yang timbul dan akhirnya ia ditangguhkan," katanya.

Beliau memberitahu, pelaksanaan subsidi bersasar tanpa mekanisme yang tepat akan menyebabkan rakyat terus terbeban apatah lagi kos sara hidup semakin meningkat.