Malaysia menyifatkan Pelan Damai Timur Tengah yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa lalu, sebagai pelan yang tidak boleh diterima sama sekali.

Menurut kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri (PMO), Malaysia telah meneliti perjanjian dikenali sebagai 'perjanjian abad ini' itu dan percaya bahawa Palestin mempunyai hak untuk menolaknya.

Jelas PMO, Palestin tidak pernah terlibat secara langsung mahupun dirujuk semasa merumuskan cadangan pelan damai itu.

BACA: Malaysia tolak Pelan Damai Israel-Palestin yang 'berat sebelah' - NGO

"Cadangan itu amat berat sebelah, ia dilihat memberi kelebihan kepada Israel sebagai penghuni atas kesengsaraan Palestin dan rakyatnya.

"Cadangan itu jelas tidak adil kepada rakyat Palestin dan hanya akan mengekalkan ketidakadilan yang telah lama mereka alami.


"Malaysia berdiri dengan kedudukannya bahawa penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan yang wujud sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin, adalah satu-satunya penyelesaian yang sesuai untuk konflik Palestin-Israel," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Malaysia kan terus menyokong usaha konkrit dan jujur ​​untuk mencari penyelesaian yang adil dan kekal kepada konflik Israel-Palestin berdasarkan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan melalui rundingan yang melibatkan pihak-pihak berkepentingan.

Antara implikasi besar pelan berkenaan ialah pengabaian persetujuan sebelum ini yang berpandukan kerangka penyelesaian dua negara dan menjadikan tuntutan rakyat Palestin kepada sebuah negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 tidak lagi terpakai.

Dengan kata lain, rakyat Palestin dipaksa hidup di bawah apartheid Israel tanpa sebarang harga diri dan kebebasan.

Dalam soal pelarian, katanya, rakyat Palestin yang mendapat perlindungan di negara-negara Arab juga akan dinaturalisasikan sebagai sebahagian daripada proses normalisasi.