PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan pelan liberalisasi visa yang bermula 1 Dis depan akan diperkukuh dengan langkah kawalan dan penguatkuasaan secara bersepadu oleh agensi penguat kuasa.

Beliau berkata antara aspek kawalan serta penguatkuasaan yang bakal dilaksana ialah mewujudkan pasukan khas Jabatan Imigresen bagi memantau pergerakan keluar pelancong China dan India.

"Pemantauan akan dilaksanakan pada tarikh akhir iaitu hari ke-30 mengikut tempoh keberadaan di dalam negara, yang akan dilaporkan secara berkala sebagai mekanisme kawalan dan penguatkuasaan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan antara inisiatif di bawah pelan itu ialah pemberian pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat China dan India ke Malaysia.

Saifuddin Nasution berkata aktiviti naziran akan dipertingkat di kawasan tumpuan warga asing seperti Masjid India, Plaza Low Yat dan Bukit Bintang bagi membanteras pendatang tanpa izin selain mempergiat risikan dan penguatkuasaan terhadap majikan yang menggaji atau melindungi mereka.

Beliau berkata prosedur ketat pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL) masih dikekalkan dan tidak akan dikompromi manakala syarikat penerbangan diberi tanggungjawab menyemak serta memastikan pelancong yang masuk ke Malaysia memiliki tiket penerbangan pulang selain tempahan hotel yang disahkan sepanjang keberadaan mereka di negara ini.

"Cadangan untuk mewajibkan pengisian data di Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) yang berintegrasi dengan sistem Imigresen MyIMMs juga sedang diteroka bagi memastikan kemasukan pelancong asing direkodkan," katanya.

Saifuddin Nasution berkata pelan liberalisasi visa diperkenal dengan penambahbaikan kemudahan Imigresen sedia ada yang dinikmati oleh pengembara ke Malaysia dari Eropah, Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Beliau juga berkata antara inisiatif pelaksanaan pelan itu ialah pemberian kemudahan visa kemasukan berbilang sehingga 30 hari kepada semua pelancong yang ingin memasuki Malaysia.

Pemberian pas lawatan sosial jangka panjang sehingga 12 bulan turut diberikan kepada pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian di Malaysia bagi tujuan menyambung pengajian, melancong dan bekerja secara sambilan.

Saifuddin Nasution berkata pas itu dibuka kepada rakyat 23 negara berisiko rendah serta berpendapatan tinggi seperti Australia, New Zealand, Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Jerman, United Kingdom, Perancis, Kanada, Switzerland, Belanda, Arab Saudi, Kuwait, UAE, Qatar, Oman, Bahrain, Sweden, Norway, Denmark, Finland dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata selain itu, tempoh sah laku visa dipanjangkan daripada tiga bulan kepada enam bulan manakala tempoh kelayakan diselaras kepada minimum 30 hari bagi semua negara yang memerlukan visa untuk memasuki Malaysia.

Menurutnya, pelaksanaan pelan itu akan dikaji semula selepas setahun untuk menilai pulangan pelaburan kepada negara, keberkesanan inisiatif dan risiko keselamatan terhadap kemudahan imigresen yang diberikan.

"Sekiranya berlaku insiden atau kejadian di luar jangkaan, maka Pelan Liberalisasi Visa ini akan disemak semula untuk ditambah baik sebagai persediaan menjelang tahun 2025 dan 2026.

"Ini akan dapat membantu kerajaan memperkemas dasar serta prosedur berkaitan keimigresenan dan menjamin ketersediaan pasukan Imigresen di pintu masuk negara untuk menerima kehadiran pelancong asing dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA