KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara bakal menyediakan strategi yang tuntas untuk Malaysia bangkit kembali dari impak pandemik COVID-19, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu berkata, pelan tersebut juga memberi keyakinan kepada golongan pekerja dan perniagaan, kerana ia memberikan garis masa yang jelas tentang pembukaan semula ekonomi Malaysia.

Dalam ucaptamanya sempena pelancaran The Malaysia Economic Monitor (MEM) edisi Jun 2021 bertajuk 'Weathering The Surge' oleh Bank Dunia pagi ini, Mustapa berkata, negara juga berada pada landasan yang tepat dalam meningkatkan jumlah pemberian vaksin.

“Mengambil kira keadaan yang sangat mencabar, ia amat penting bagi kerajaan untuk mempunyai perancangan yang jelas. Pelan Pemulihan Negara menyediakan strategi jelas bagi negara bangkit kembali dari pandemik COVID-19.

“Ia juga memberikan keyakinan kepada golongan pekerja dan perniagaan di Malaysia, kerana pelan ini memberi garis masa yang jelas tentang pembukaan semula ekonomi Malaysia secar berperingkat.

“Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, kita telah berjaya meningkatkan proses pemberian vaksin. Kadar vaksinasi sudah tentu amat kritikal dalam mengurangkan jumlah jangkitan, serta memulihkan kembali ekonomi,” katanya lagi.

Pada 15 Jun lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat fasa melibatkan pelan peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Ujar beliau, setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan 'Tiga Indikator Ambang Utama' ataupun 'threshold' untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

BACA: KDNK Malaysia 2021 dijangka tumbuh 4.5 peratus - Bank Dunia

BACA: 4 fasa Pelan Pemulihan Negara, 3 indikator utama jadi panduan

Dalam pada itu, Mustapa berkata, kerajaan sedang dalam peringkat akhir dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)

RMK12, jelas beliau lagi, akan menyediakan rujukan asas bagi tempoh lima tahun seterusnya dalam usaha membina semula negara, serta memulihkan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19.