KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) akan menyediakan Pelan Perlindungan Insurans kepada Isi Rumah (IR) Miskin yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian Ketua Isi Rumah (KIR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, ia akan melibatkan kira-kira 268,000 keluarga miskin yang berdaftar dalam eKasih.

Perdana Menteri juga memaklumkan, setiap isi rumah akan menerima RM10,000 dengan peruntukan sebanyak RM13.4 juta setahun.

"Mesyuarat MySPC juga memutuskan untuk memperkasakan agenda perlindungan sosial sehingga ke peringkat daerah pentadbiran menerusi Jawatankuasa Teknikal Perlindungan Sosial Negeri (JTPSNg) bagi menyelaras Pemetaan Program dan Profil Perlindungan Sosial Fasa 2.

"Selain itu, MySPC akan meningkatkan tahap sosioekonomi Keluarga Malaysia dengan memberi nilai tambah dan tumpuan kepada Program Peningkatan Pendapatan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin dan Miskin Tegar yang berdaftar dalam eKasih.

"Malaysia Productivity Corporation (MPC) diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Kerja Memodenkan Subsidi Bagi Meningkatkan Produktiviti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut perdana menteri, MySPC telah melancarkan  Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) Fasa 1: Bantuan Sosial (Persekutuan) melibatkan 167 program daripada 17 kementerian atau agensi.

Ujar beliau, ia mengandungi 13.7 juta data profil individu penerima manfaat sehingga tahun 2020 dan program-program perlindungan sosial merentasi pelbagai kementerian atau agensi yang terlibat.

"PDPS ini akan menjadi single gateway serta sumber rujukan utama program-program perlindungan sosial yang meliputi elemen Pekerjaan, Insurans Sosial dan Bantuan Sosial.

"Akses penuh sistem ini kepada orang awam dan semua pihak berkepentingan akan dibuka setelah Modul Insurans Sosial dan Intervensi Pasaran Buruh siap dibangunkan selepas tahun 2023.

Perdana Menteri berkata, langkah-langkah yang diputuskan dalam mesyuarat MySPC itu akan membantu untuk memantapkan agenda perlindungan sosial untuk mencapai miskin tegar sifar menjelang tahun 2025 yang dihasratkan oleh Kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12.