PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak di Malaysia dalam mesyuarat pertamanya hari ini meluluskan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Bantut dalam Kalangan Kanak-kanak 2022-2030.

Jawatankuasa khas itu dianggotai Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengkaji penyebab peningkatan kadar bantut yang tinggi melibatkan faktor pemakanan, persekitaran dan kemudahan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pelan strategik kebangsaan itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kementerian Kewangan supaya agenda memerangi masalah malpemakanan dalam kanak-kanak diberi tumpuan serta diangkat sebagai agenda nasional bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia pada Belanjawan 2023.

"Sasaran kita adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya masalah bantut dalam kalangan anak-anak di Malaysia dapat dikurangkan kepada lapan peratus menjelang 2030," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Media #AnakMalaysiaSihat di sini hari ini.

Masalah bantut | Isu akses harga protein dan susu juga dibincangkan - Khairy


Menurut Khairy, jawatankuasa khas itu juga memberi fokus meneliti masalah bantut dari aspek ekonomi dan sosial termasuk akses kepada makanan mencukupi, harga susu dan sumber protein lain yang dilihat membebankan ibu bapa.

"Minta ibu bapa beli susu dan makanan sihat tetapi pokok pangkal adalah harga tidak menentu. Jadi jawatankuasa ini mesti memberi tumpuan kepada penentu-penentu sosial ekonomi juga," katanya.

Menurut Khairy, masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak mencatatkan peningkatan dari 17 peratus pada 2015 kepada 21.8 peratus pada 2019.

Beliau berkata situasi wabak COVID-19 yang berlarutan dan kesan ekonomi kepada rakyat dijangka meningkatkan trend masalah pemakanan dalam kalangan kanak-kanak terutama mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menurutnya, masalah bantut adalah kerana kekurangan zat makanan kronik iaitu kanak-kanak tidak mendapat makanan yang mencukupi dari segi kuantiti dan kualiti dalam suatu tempoh masa lama sehingga menyebabkan mereka tidak membesar dengan sempurna dan mencapai ketinggian ideal.

Memetik kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula, hampir separuh daripada jumlah kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun di seluruh dunia adalah berkait dengan isu kekurangan nutrisi makanan, dan masalah atau keadaan bantut pula menyumbang kepada kematian sejuta kanak-kanak setiap tahun.

-- BERNAMA