Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2016-2020 dilancarkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, di sini, hari ini.

Ia merupakan kesinambungan kepada Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT yang dilancarkan 13 April 2010 dan Pelan Strategik Keusahawanan IPT 2013-2015.

Idris berkata melalui pelaksanaan pelan tindakan itu, ia diharap mampu melahirkan lebih ramai pencipta kerja berbanding pencari kerja dalam kalangan lepasan graduan IPT.

"Kita mengeluarkan usahawan dari semasa ke semasa. Orang jual muruku pun boleh jadi jutawan. Ia menandakan usahawan kita boleh berjaya.

"Kita mahu graduan jadi job creator (pencipta kerja) bukan job seeker (pencari kerja)," katanya semasa berucap melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2016-2020 di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan berhasrat melahirkan graduan yang holistik dengan mengutamakan keseimbangan antara akademik dan keusahawan.

"Saya harap tahun 2020 pelajar kita didedahkan dengan program keusahawanan seratus peratus dan akan memastikan 15 peratus daripada mereka telah mengikuti program keusahawanan di universiti," kata Idris.

Selain itu, kerajaan mensasarkan lima peratus daripada graduan IPT memilih kerjaya usahawan pada tahun 2020.

"Kita harap lima peratus graduan IPT akan jadi usahawan kerana angka (semasa) masih rendah. InsyaAllah dengan program hari ini ramai pakar industri datang ke universiti untuk meningkatkan kualiti pembelajaran usahawan," katanya lagi.

Setakat ini, usahawan graduan IPT direkodkan meningkat daripada 1 peratus kepada 2 peratus.

Empat inisiatif dalam pelan tindakan yang dilaksanakan ialah melaksanakan Amalan Pendidikan Berimpak Tinggi (HIEP) dengan menerapkan elemen keusahawanan merentasi kurikulum dan bidang pengajian, Rangka Kerja Penjana Pekerjaan, menambah baik ekosistem yang menyokong pembangunan keusahawanan pelajar, dan memperkukuhkan persaingan tenaga pengajar.