DARIPADA gas memasak, minyak mentah hinggalah plastik yang digunakan untuk botol susu dan pembungkusan makanan, banyak produk harian yang digunakan rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai kaitan dengan Selat Hormuz, salah satu laluan perkapalan paling strategik dunia.
Sekiranya konflik di Asia Barat berpanjangan dan laluan tersebut terus terganggu, kesannya mungkin bukan sekadar isu geopolitik, tetapi boleh mula dirasai menerusi peningkatan kos dan tekanan terhadap rantaian bekalan global.
Data badan pemikir Southeast Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC) mengenal pasti sebanyak 106 produk import Malaysia yang mempunyai kaitan dengan laluan Selat Hormuz, dengan tahap risiko berbeza sekiranya gangguan bekalan berlaku.
Walaupun hanya sebilangan kecil produk berdepan risiko kekurangan kritikal, beberapa import penting termasuk gas memasak, minyak mentah dan bahan plastik untuk pembungkusan harian dijangka boleh menjadi lebih mahal jika gangguan berterusan berlaku.
Produk paling berisiko: Pelincir industri
Menurut analisis SEAFIC, hanya satu produk diklasifikasikan di bawah kategori risiko tertinggi atau S1 merangkumi petroleum sulphonates, bahan yang digunakan dalam penghasilan minyak enjin dan bahan tambahan pelincir industri.
Di bawah klasifikasi itu, produk berkenaan berdepan senario “kekurangan fizikal”, iaitu situasi apabila bekalan global sendiri menjadi terhad sekiranya Selat Hormuz terganggu.
SEAFIC mendapati sebanyak 75.8 peratus bekalan dunia bagi produk itu melalui Selat Hormuz, manakala Malaysia lebih terdedah apabila 97.9 peratus importnya memasuki negara menerusi laluan strategik berkenaan.
Kuwait merupakan pembekal utama Malaysia bagi kategori itu.
Gas memasak antara yang paling terdedah
Dua lagi produk yang diletakkan di bawah kategori S2 ialah propane cecair dan butane cecair, komponen penting dalam rantaian bekalan gas memasak negara.
Tahap kebergantungan Malaysia terhadap laluan Hormuz bagi kedua-dua produk itu adalah tinggi, dengan 83.9 peratus propane cecair dan 54.8 peratus butane cecair diimport melalui selat tersebut.
Kuwait turut menjadi pembekal utama bagi kedua-dua bahan api berkenaan.
Selain digunakan untuk gas memasak isi rumah, kedua-dua bahan ini turut digunakan dalam cecair pemetik api serta aerosol.
SEAFIC menjelaskan kira-kira separuh penggunaan gas memasak isi rumah di Malaysia terdiri daripada propane, manakala butane membentuk sebahagian daripada ekosistem rantaian bekalan sama.
Minyak mentah, plastik dan pembungkusan makanan
Sebanyak sembilan produk pula diletakkan di bawah kategori S3, iaitu keadaan apabila bekalan global masih tersedia di luar Selat Hormuz tetapi cukup kritikal sehingga gangguan boleh mendorong kenaikan harga berbanding kekurangan bekalan sepenuhnya.
Antara yang paling signifikan ialah minyak mentah, bahan asas utama bagi menghasilkan petrol, diesel dan bahan api jet.
SEAFIC menganggarkan hampir separuh import Malaysia bagi kategori minyak mentah iaitu sekitar 48.5 peratus melalui Selat Hormuz.
Walaupun terdapat sumber alternatif, bekalan global produk tersebut masih banyak tertumpu di rantau Teluk, menjadikan perubahan laluan bekalan lazimnya membawa kepada peningkatan harga.
Turut berada dalam kategori sama ialah bahan petrokimia seperti high-density polyethylene (HDPE) dan low-density polyethylene (LDPE).
HDPE digunakan secara meluas dalam penghasilan botol susu, botol pencuci serta paip, manakala LDPE digunakan dalam filem plastik, pembalut makanan, beg plastik dan pelbagai bentuk pembungkusan pengguna.
Secara tidak langsung, bahan-bahan ini membentuk sebahagian besar pembungkusan produk harian yang digunakan pengguna di Malaysia.
Tidak semua produk berdepan risiko tinggi
Dalam masa sama, sebanyak 94 produk dikelaskan di bawah kategori S4 iaitu kumpulan terbesar tetapi mempunyai tahap gangguan paling rendah.
SEAFIC menjelaskan produk kategori ini masih boleh diganti menerusi sumber alternatif atau perubahan laluan bekalan.
Gangguan lebih cenderung menyebabkan pelarasan logistik atau kenaikan harga sederhana berbanding kekurangan bekalan serius.
Produk kategori ini mewakili kira-kira AS$1.8 bilion nilai import Malaysia melalui Selat Hormuz pada 2024.
Antara produk bernilai tinggi termasuk emas separa siap dan jongkong emas yang digunakan dalam industri barang kemas serta aplikasi elektronik tertentu.
Selain itu, kategori ini turut merangkumi barangan pengguna seperti kurma, produk yang mempunyai permintaan tinggi terutama ketika Ramadan.
Malaysia mengimport kurma bernilai AS$19.68 juta melalui laluan Hormuz, mewakili 34.7 peratus daripada keseluruhan import kurma negara.
Sebahagian besar import Malaysia melalui Selat Hormuz datang daripada negara Teluk seperti Oman, Kuwait, Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu, yang menjadi pembekal utama bagi produk tenaga, input petrokimia serta beberapa komoditi bernilai tinggi.
* Laporan ini diterbitkan hasil kerjasama lima organisasi media di Malaysia merangkumi Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.