KUALA LUMPUR:Program vaksinasi COVID-19 negara dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tegas Ahli Parlimen Rembau itu, negara perlu fleksibel dalam mengimbangi portfolio vaksin yang mungkin berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada data klinikal yang sentiasa melalui perubahan.

Khairy menjelaskan tentang proses penerimaan vaksin secara berperingkat serta rasional untuk mengutamakan beberapa golongan berisiko, seperti petugas barisan hadapan dan warga emas.

Dewasa sihat bawah usia 60 tahun dan bukan merupakan petugas barisan hadapan dijangka hanya dapat menerima vaksin pada suku ketiga tahun ini atau kemudian.

“Sangat penting untuk kita mengurus jangkaan atau manage expectations. Penghantaran pertama pada bulan Februari bukanlah bermakna semua orang akan menerima vaksin pada bulan tersebut juga.

"Ada beberapa ahli politik juga yang menyatakan Malaysia boleh mengadakan pilihan raya pada bulan Mac kerana beranggapan pada bulan tersebut, semua orang telah menerima vaksin," kata beliau.   

Pada 8 Januari lalu, Khairy mengumumkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech berjaya didaftar oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sekali gus memberi kelulusan bersyarat untuk penggunaan vaksin itu di negara ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Malaysia masih menjadi antara negara paling awal menerima vaksin COVID-19 di Asia Pasifik, meskipun Singapura dan Indonesia telah melancarkan program vaksinasi masing-masing.

Jelasnya, kedua-dua negara jiran itu mempunyai kelebihan daripada segi kewangan serta kebolehan untuk menjalankan ujian klinikal vaksin.

“Singapura berkeupayaan untuk meletakkan wang pendahuluan yang besar kepada calon-calon vaksin,” kata Khairy.

Kata beliau, Singapura memperuntukkan lebih S$1 bilion bagi memvaksinkan rakyatnya yang merupakan populasi jauh lebih kecil berbanding di Malaysia.

Indonesia turut mula memvaksinkan rakyatnya semalam setelah mendapat akses awal kepada vaksin Sinovac kerana dapat menjalankan ujian klinikal di negara itu.

“Ujian klinikal vaksin Sinovac bermula pada tahun lalu dan semasa Malaysia menawarkan kepada pihak Sinovac untuk menjadi lokasi ujian klinikal, jumlah kes positif dan kadar jangkitan di Malaysia adalah sangat rendah.

"Oleh itu, Sinovac tidak menyenaraikan Malaysia ke dalam program ujian klinikal fasa ketiga mereka kerana ujian klinikal hanya berkesan di lokasi yang mempunyai kes serta kadar jangkitan yang tinggi."

Setakat ini, kerajaan telah menandatangani beberapa perjanjian untuk mendapatkan bekalan vaksin bagi rakyat, termasuk Pfizer-BioNTech, AstraZeneca-Universiti Oxford dan COVAX.