Skip to main content

Malaysia

Pelancong asing, tempatan teruja rasai pengalaman Citrawarna 2026

 Pelancong, Citrawarna 2026. Kredit: AWANI
(Dari kiri) Eric LIm, Moothoosamy Danalucheemee dan Rina Tanaka masing-masing menghargai detik menyeronokkan dalam sambutan Citrawarna 2026 di ibu negara. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemeriahan Citrawarna 2026 yang kembali mewarnai Dataran Merdeka berjaya mencuri perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.

Mereka menyifatkan festival kebudayaan ikonik itu sebagai pentas memperkenalkan warisan, seni serta kepelbagaian budaya Malaysia kepada dunia.

Bagi pelancong dari Mauritius, Moothoosamy Danalucheemee, 33, kunjungan pertamanya ke Citrawarna meninggalkan pengalaman yang sukar dilupakan.

Dia yang juga seorang guru berkata, keramahan rakyat Malaysia, makanan tempatan dan kepelbagaian budaya menjadikan lawatannya bersama 30 peserta dari Mauritius begitu bermakna.

“Kami sangat teruja kerana ini kali pertama menghadiri acara seperti ini. Kami dapat melihat persembahan budaya Melayu, Cina dan India dalam satu acara. Semua orang akan menikmati pengalaman ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Sabtu.

Moothoosamy berkata, sepanjang berada di Malaysia, rombongannya turut melawat beberapa sekolah dan menyifatkan negara ini sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman budaya yang unik.

“Saya pasti akan mengesyorkan Malaysia kepada rakan-rakan di negara saya dan berharap dapat kembali berkunjung pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pelancong dari Jepun, Rina Tanaka, 37, berkata beliau memilih untuk datang ke Malaysia selepas melihat promosi pelancongan negara menerusi media sosial.

Sepanjang lima hari berada di Malaysia, dia ingin memanfaatkan peluang menyaksikan sendiri persembahan kebudayaan yang mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Malaysia ialah sebuah negara yang menarik kerana mempunyai pelbagai agama dan budaya. Saya dapat belajar banyak perkara di sini dan mahu membawa pulang pengalaman yang tidak dapat dilupakan ke Jepun,” ujarnya.

Bagi pemandu pelancong tempatan, Eric Lim Meng Khoon, 43, Citrawarna bukan sekadar acara hiburan, malah platform terbaik mempromosikan Malaysia kepada pelancong antarabangsa.

Dia yang pernah beberapa kali menghadiri Citrawarna sebelum pandemik COVID-19 berkata festival itu memudahkan pemandu pelancong memperkenalkan keunikan budaya negara kepada pengunjung asing.

“Hari ini kita dapat lihat ramai pelancong luar negara hadir. Acara seperti ini memang boleh disyorkan kepada mereka kerana dalam satu lokasi mereka dapat menikmati kepelbagaian budaya Malaysia.

“Saya berharap kerajaan akan terus memperhebat promosi destinasi pelancongan negara supaya lebih ramai pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi percutian,” katanya sambil memaklumkan kira-kira 20 pemandu pelancong turut membawa kumpulan pelawat ke festival berkenaan.

Berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Citrawarna tahun ini mengangkat tema “Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa”,.

Ia sekali gus menampilkan Kuala Lumpur sebagai pusat sambutan yang meraikan identiti pelbagai kaum menerusi persembahan kebudayaan, muzik tradisional, tarian etnik dan pameran warisan.

Must Watch Video

Advertisement