PUTRAJAYA: Buat masa ini, pelancong asing yang dikehendaki mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) tiga hari sebelum ketibaan mulai 1 Dis lepas, diberi kelonggaran berbuat demikian di pintu masuk negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Ini supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baharu itu," katanya sambil menambah MDAC adalah sebahagian inisiatif utama penambahbaikan kemudahan Imigresen berikutan pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang mengecualikan visa selama 30 hari kepada pelancong China dan India mulai 1 Dis lepas.

Beliau berkata MDAC dilaksana kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan sesekali berkompromi dengan aspek keselamatan negara di sebalik liberalisasi visa yang bertujuan merancakkan pertumbuhan ekonomi khususnya dalam sektor pelancongan.

"Bila kita buat langkah liberalisasi, kita tahu mereka masuk guna pas apa dan kita mengkehendaki mereka mengisi kad digital sebagai satu prasyarat iaitu membolehkan kita mengesan keberadaan mereka," katanya kepada media selepas Sambutan Setahun KDN MADANI dan perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Pada 1 Dis lepas, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata kelonggaran pengisian kad ketibaan digital diberikan hingga 7 Dis 2023.

Saifuddin Nasution juga berkata tempoh sah laku pasport Malaysia yang kini lima tahun adalah kekal namun KDN akan menilai cadangan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) untuk melanjutkannya kepada 10 tahun berdasarkan praktik terbaik negara lain.

Mengulas isu yang tular di media sosial mengenai dakwaan seorang rakyat Malaysia dihina ketika memperbaharui pasport di UTC Johor kerana tidak fasih berbahasa Melayu kerana belajar di Singapura sejak kanak-kanak, beliau berkata ia mungkin berlaku kerana timbul syak wasangka.

Saifuddin Nasution berkata terpahat dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan bahasa lain bebas dipelajari serta digunakan namun kewajipan seseorang warganegara untuk menguasai Bahasa Melayu tidak boleh dikompromi.

"Saya harap ibu bapa yang berkenaan boleh memahami kewajipan seseorang warganegara adalah mempelajari dan menguasai bahasa dengan baik dan tidak perlu dijadikan isu hingga menggambarkan jabatan kerajaan mempersulit urusan untuk memperbaharui dokumen perjalanan hanya kerana syarat bahasa," katanya.

Ditanya keperluan kawalan di pintu masuk susulan kebimbangan peningkatan kes COVID-19, beliau berkata sebelum polisi berkaitan perkara itu diumum, ia harus berpandukan pendirian Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita belum mendapat sebarang amaran terkini atau langkah berjaga-jaga daripada KKM. Sehingga itu berlaku, program liberalisasi visa akan berjalan seperti dirancang," katanya.

-- BERNAMA