Berita Terkini ASEAN25: PM baharu Jepun berhasrat perkukuh kerjasama dengan Malaysia, ASEAN

Lawatan itu mencerminkan komitmen Tokyo untuk mengeratkan lagi hubungan dengan ASEAN susulan peningkatan cabaran geopolitik di rantau Indo-Pasifik. - Bernama
KUALA LUMPUR: Jepun berhasrat memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dan negara anggota ASEAN lain dalam bidang keselamatan serantau dan global menjelang lawatan pertama Perdana Menteri baharu Sanae Takaichi ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Lawatan itu mencerminkan komitmen Tokyo untuk mengeratkan lagi hubungan dengan ASEAN susulan peningkatan cabaran geopolitik di rantau Indo-Pasifik.
Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata berkata lawatan Takaichi akan menjadi peluang penting untuk menonjolkan sokongan berterusan negara itu terhadap kepusatan ASEAN dan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi blok serantau itu tahun ini.
"Lawatan Perdana Menteri Takaichi akan membuka ruang untuk membincangkan keutamaan bersama dan menegaskan sokongan Jepun terhadap peranan Malaysia dalam mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif pada Jumaat.
Takaichi, 64, melakar sejarah sebagai wanita pertama menjadi Perdana Menteri Jepun selepas meraih 237 undi di Dewan Perwakilan yang mempunyai 465 kerusi sekali gus memenangi undian Parlimen tanpa memerlukan pusingan penentu.
Takaichi, yang juga Presiden Parti Liberal Demokratik Jepun (LDP), dipilih selepas parti itu mencapai persetujuan dengan Parti Inovasi Jepun untuk membentuk kerajaan campuran.
Shikata berkata Jepun, di bawah pentadbiran baharu, kekal prihatin terhadap ketegangan keselamatan di Asia khususnya di Laut China Selatan dan Laut China Timur di mana pertikaian wilayah masih menguji kestabilan serantau.
Semasa lawatannya, Takaichi dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin Malaysia bagi meneroka langkah-langkah memperkukuh kerjasama dalam keselamatan maritim, daya tahan ekonomi, peralihan hijau dan hal ehwal kemanusiaan di bawah kerangka ASEAN.
Beliau berkata Jepun dan Malaysia juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai usaha mengekalkan kebebasan navigasi serta menegakkan undang-undang antarabangsa dalam menangani pertikaian maritim.
Duta itu berkata Tokyo berharap dapat memperluas kerjasama dengan Kuala Lumpur dalam bidang seperti ketersambungan digital, pengurangan risiko bencana dan daya tahan iklim selaras dengan usaha ASEAN membina rantau yang stabil serta mampan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang dipengerusikan oleh Malaysia di Kuala Lumpur, dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan ASEAN, memajukan integrasi ekonomi serantau dan menangani cabaran keselamatan yang baharu muncul.
Sidang kemuncak itu dijangka menghimpunkan Rakan Dialog ASEAN termasuk Jepun, Amerika Syarikat, China, Korea Selatan dan Australia bagi membincangkan kerjasama dalam aspek keamanan serantau, pertumbuhan mampan serta kestabilan strategik di rantau Indo-Pasifik.
Penyertaan Takaichi menandakan lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan dan dilihat sebagai penegasan semula komitmen Jepun untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dan ASEAN bagi mempromosikan keamanan, kestabilan serta tatatertib serantau berasaskan peraturan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


