KUALA LUMPUR: Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) menyasarkan untuk mencapai pendapatan RM2.4 bilion dalam sektor pelancongan kesihatan tahun ini, yang turut dijangka memberi limpahan ekonomi bernilai kira-kira RM9.6 bilion kepada industri lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Dr Mohamed Ali Abu Bakar berkata industri berkenaan meliputi pelancongan, penginapan, pengangkutan dan banyak lagi.

Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan data dikumpul setakat November 2023, apabila sektor pelancongan kesihatan merekodkan pendapatan lebih RM1.92 bilion, selain langkah kerajaan Persekutuan memberikan kemasukan tanpa visa selama 30 hari ke Malaysia dari China dan India bermula 1 Dis lepas.

"Jumlah ini (RM1.92 bilion) bukan sahaja melepasi sasaran awal untuk 2023, malah mencapai sasaran Rangka Tindakan Industri Pelancongan Kesihatan Malaysia (2021-2025) sebanyak RM2.0 bilion, dua tahun lebih awal.

"Ini juga akan menetapkan rekod pencapaian tertinggi baharu untuk industri ini, melepasi pencapaian terbaik sebelum pandemik pada 2019 sebanyak RM1.7 bilion," katanya kepada Bernama.

Mohamed Ali berkata pihaknya yakin negara akan menyaksikan lebih banyak kehadiran pelancong kesihatan dengan keputusan kemasukan tanpa visa tersebut, memandangkan China dan India juga antara negara penyumbang kepada jumlah pelancong dalam kategori itu.

Malah, kemasukan tanpa visa itu turut memudahkan perancangan dan proses mendapatkan rawatan atau perkhidmatan penjagaan kesihatan, mengurangkan kos perbelanjaan memohon visa, memudahkan pelancong kesihatan untuk kembali mendapatkan pendapat kedua daripada pakar, rawatan susulan atau rawatan lain.

"Pelaksanaan kemudahan visa ini sememangnya tepat pada masanya kerana banyak negara termasuk China telah melonggarkan syarat untuk masuk dan keluar negara susulan peralihan ke fasa endemik COVID-19 bermula dua tahun lepas," katanya.

Menurutnya sepanjang sedekad lepas Malaysia dikenali sebagai destinasi yang diyakini oleh pelancong kesihatan di rantau Asia Pasifik dan telah merekodkan lebih satu juta ketibaan ada 2023, iaitu peningkatan lebih 15 peratus berbanding pada 2022 sebanyak kira-kira 850,000 orang.

Beliau berkata Indonesia merupakan penyumbang tertinggi iaitu 70 peratus hingga 80 peratus daripada jumlah kemasukan pelancong kesihatan ke negara ini.

Negara lain yang turut menyumbang kepada bilangan kemasukan pelancong kesihatan ke Malaysia ialah Bangladesh, Australia, China, Jepun, Hong Kong, Filipina, Singapura, Korea Selatan, India, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

-- BERNAMA