JOHOR BAHRU: Tourism Johor akan mengadakan pertemuan dengan beberapa hospital pakar dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan kesihatan di negeri itu.

Pengarahnya, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, perancangan dan strategi bagi memberikan perkhidmatan terbaik meliputi segenap aspek dalam sektor itu merupakan antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

Beliau berkata, ini kerana usaha bagi menambah baik perkhidmatan sektor berkenaan yang antaranya mendapat sambutan dalam kalangan pelancong dari Indonesia, perlu dilakukan secara berterusan.

"Kita mahu menawarkan perkhidmatan bukan setakat (pelancongan kesihatan) di hospital sahaja, ia juga perlu mengambil kira (aspek) penginapan di hotel yang selesa dan berdekatan dengan hospital.

"Selain itu pelancong juga perlu mudah untuk mendapatkan makanan dan perkhidmatan pengangkutan kerana sektor ini perlu memberi limpahan ekonomi yang tidak tertumpu kepada satu aspek sahaja," katanya pada sidang media selepas melawat restoran Zainals Place, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sambutan terhadap sektor pelancongan kesihatan di Johor.

Mengenai kesan kejatuhan ringgit kepada sektor pelancongan di Johor, beliau berkata, ia akan memberikan impak positif namun usaha mempromosi produk pelancongan perlu dipergiatkan bagi menarik kedatangan pelancong khususnya dari Singapura.

"Kita kena ambil peluang untuk memasarkan produk kita supaya apabila mereka masuk berbelanja ke Johor, perniagaan usahawan tempatan kita dapat ditingkatkan dan dikembangkan seperti restoran Zainals Place ini yang dikunjungi berbilang bangsa termasuk dari Singapura.

"Kita tidak boleh berdiam diri. Walaupun ringgit jatuh usaha perlu dipertingkat supaya pelabur dan pelancong masuk berbelanja di Johor," katanya menambah aliran duit masuk akan menambah baik ekonomi dalam jangka masa panjang. - BERNAMA