SHAH ALAM: Seorang pelanggan sebuah bank di negara ini terkejut apabila mendapati baki akaun simpanannya mempunyai jumlah lebih RM400 juta.

Memetik laporan The Straits Times, Pengarah dan Pengasas bersama Forum HR Malaysia, Hafidzah Abdullah berkata, mustahil untuk dia menjadi jutawan dalam sekelip mata.

Hafidzah berkata, akaunnya kemudian disekat tanpa sebarang pemberitahuan menyebabkan beliau menghadapi pelbagai kesukaran selama tiga hari.

Beliau melahirkan rasa kecewa kerana terpaksa berhadapan banyak masalah walaupun kesilapan itu bukan berpunca daripada pihaknya.

“Saya menghargai pengalaman anda (nama bank) berikan sebagai satu momen yang sukar untuk dilupakan, tetapi saya rasa masalah ini agak keterlaluan.

“Anda fikir saya dapat loteri, bukan? Tidak sebenarnya, ia merupakan glitch (gangguan),” katanya menerusi satu hantaran di aplikasi LinkedIn pada Rabu.

Hafidzah berkata, terpaksa pergi ke cawangan bank untuk menyah sekat akaun berkenaan.

“Gangguan Maybank semasa tempoh pembayaran gaji tidak kelakar.

"Akaun peribadi saya disekat, akaun syarikat tidak boleh digunakan dan melawat Maybank telah menjadi sebagai sebahagian daripada rutin senaman harian saya," ujarnya.

Melalui hantaran berkenaan, naib presiden eksekutif bank itu, meninggalkan komen meminta Hafidzah memberikan nombor telefon untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, bank itu memaklumkan Hafidzah masalah berkenaan telah berjaya diselesaikan pada Jumaat.