KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang menjalankan analisis bagi meramalkan pergerakan tumpahan minyak di kawasan berpotensi susulan pelanggaran dua kapal di perairan Muar, 12 tengah malam Ahad.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah bekerjasama dengan Persatuan Nelayan untuk mengesan sekiranya berlaku tumpahan minyak akibat insiden tersebut.

"Mendapat maklumat daripada pihak Maritim Johor berlaku pelanggaran kapal tangki dan kapal kargo di perairan Muar sekitar jam 12.03 tengah malam tadi.

"JAS telah ke lokasi untuk menilai situasi dan tindakan susulan serta trajektori minyak sedang dianalisis untuk meramal pergerakan tumpahan minyak di kawasan berpotensi," katanya dalam satu kenyataan, pada awal pagi Ahad.

Terdahulu, sebuah kapal tangki dilapor berlanggar dengan kapal kargo di perairan Muar sekitar 12 tengah malam, pada Ahad.

BACA: Dua kapal berlanggar di perairan Muar

Menurut Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, pihaknya dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia menerima maklumat mengenai isyarat kecemasan daripada kedua-dua kapal berkenaan.

Kapal terbabit dikenal pasti sebagai kapal kargo MV Zephyr Lumos dan kapal tangki MV Galapagos, masing-masing di kedudukan 14.1 Barat Daya, Kuala Sungai Muar.