CYBERJAYA: Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baharu akan diputuskan segera.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, nama beberapa calon sudah dikemukakan namun ia perlu melalui beberapa proses untuk lantikan baharu.

"(Pelantikan) akan diputuskan segera kerana proses harus dihormati dan ada calon sudah dikemuka oleh kumpulan yang memilih.

"Ada (calon) yang dikemukakan tapi akan diumumkan pada ketikanya, dan memang disegerakan. Tetapi seperti biasa, dalam semua pelantikan, kita akan lalui proses tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Itu kadang-kadang mengambil masa beberapa minggu," jelas beliau.

Anwar berkata demikian pada sidang media Program Pemukiman Kerajaan Perpaduan 2024 di Cyberjaya pada Khamis.

Jawatan tersebut kini masih kosong susulan pelantikan CEO terdahulu, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II ketika rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan pada 12 Disember tahun lepas.