Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau akan mengambil peluang untuk mengaplikasi apa yang pernah dipelajarinya semasa melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

Katanya, beliau akan memikul amanah itu sebaik mungkin dalam situasi ekonomi yang mencabar pada masa ini.

"Saya bukanlah kata saya sendiri dilantik tepat pada masanya ke kementerian ini tetapi saya akan cuba melakukan yang terbaik dalam mengaplikasi ilmu yang saya ada, memadankannya dengan apa yang ada bersama saya, kemudahan yang sudah disediakan oleh kerajaan (untuk mencapai matlamat kementerian)," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Wan Junaidi merupakan pemegang Ijazah Kedoktoran Pengurusan Perniagaan dari Universiti Southern California, Amerika Syarikat.

Sementara itu, beliau berkata dalam mesyuarat Kabinet pertama di Putrajaya pada , Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyentuh berkaitan perubahan ekonomi yang berlaku secara global serta turut memberi kesan terhadap perkembangan keusahawanan dan koperasi di Malaysia.

"Yang disebut oleh Perdana Menteri semasa mesyuarat Kabinet tadi ialah tentang dinamik pembangunan ekonomi dan pandangan kami selaras. Kalau kita menggunakan perniagaan dan industri sebagai pemangkin untuk memajukan negara, saya cukup yakin kita akan berjaya melakukannya," kata beliau.

Dalam konteks Sarawak, Wan Junaidi percaya usahawan dan koperasi di negeri itu, khususnya di pedalaman, memiliki kemampuan untuk mencatat kejayaan lebih baik berdasarkan semangat serta disiplin mereka yang terlibat dalam memajukan perniagaan.

-- BERNAMA