PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menaruh keyakinan pelantikan mantan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dapat memimpin jawatankuasa tersebut mencapai matlamat penubuhannya.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan berkata agensi itu berbesar hati atas pelantikan Zaharah berdasarkan pengalaman luas dan kredibilitinya dalam bidang kehakiman sebelum ini.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-259 pada 30 Jun lepas berkenan menaik taraf Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil, MKI kepada Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, MKI.

Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil itu ditubuhkan oleh MKI pada 6 Mei 1988 antara lain bertujuan untuk membincangkan penyeragaman undang-undang sivil dan syariah di Malaysia.

Zaharah diperkenan untuk mempengerusikan jawatankuasa itu berkuat kuasa mulai 30 Jun lepas hingga 29 Jun 2024, dan watikah pelantikannya disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI pada 17 Ogos lepas.

-- BERNAMA