KUALA LUMPUR: Pelarasan kos sara hidup bagi penerima faedah berkala dan kenaikan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berkuat kuasa 1 Jan lepas, dijangka memberi manfaat kepada lebih 456,000 penerima faedah Perkeso.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata kedua-dua inisiatif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) itu memberi manfaat kepada penerima faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan merangkumi faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, pencen ilat dan pencen penakat.

Beliau berkata pelarasan yang dilaksanakan kepada faedah berkala dan pencen yang dibayar kepada penerima faedah Perkeso itu berupaya membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup khususnya dengan peningkatan kos barangan dan perkhidmatan dalam negara pada masa kini.

"Inisiatif pelarasan kos sara hidup bagi penerima faedah berkala sedia ada dan kenaikan kadar pencen minimum adalah lanjutan daripada Kajian Penilaian Aktuari ke-11 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

"Kajian itu mengambil kira keadaan sosial dan ekonomi semasa di Malaysia, kesan daripada pandemik COVID-19, peningkatan kos sara hidup dan kenaikan kadar inflasi. Kedua-dua langkah itu akan melibatkan perbelanjaan kira-kira RM234 juta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengenai pelarasan Kos Sara Hidup untuk faedah berkala Perkeso, Mohammed Azman berkata lebih 400,000 dijangka menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan dengan anggaran perbelanjaan RM213 juta.

Katanya, sehingga kini, pelarasan Kos Sara Hidup bagi bayaran faedah berkala Perkeso telah dibuat sebanyak 12 kali di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan 10 kali di bawah Skim Keilatan sejak 1977.

"Kadar pelarasan Kos Sara Hidup bagi penerima faedah berkala Perkeso yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2023 adalah antara 0.7 peratus hingga 9.4 peratus mengikut tarikh terakru (tahun pencen diterima) dengan peratus pelarasan.

"Bagi tahun pencen terakru sebelum 2015, kadar pelarasannya adalah 9.4 peratus manakala, bagi pencen terakru dalam 2015, kadarnya adalah 8.4 peratus. Selain itu, pencen terakru dalam 2016 (6.2 peratus), 2017 (2.3), 2018 (1.3) dan 2019 (0.7)," menurutnya.

Sementara itu, Mohammed Azman memaklumkan pelaksanaan kenaikan Kadar Pencen Minimum di bawah Skim Keilatan turut ditingkatkan daripada kadar sedia ada iaitu sebanyak RM475 sebulan kepada RM550 sebulan.

Beliau berkata peningkatan Kadar Pencen Minimum itu akan memanfaatkan kira-kira 56,000 penerima faedah dalam membantu mereka menangani peningkatan kos sara hidup melibatkan perbelanjaan sebanyak RM21 juta.

"Adalah menjadi harapan Perkeso agar kedua-dua inisiatif ini akan dapat meringankan beban kewangan, meningkatkan kesejahteraan dan memenuhi keperluan sosioekonomi penerima-penerima faedah Perkeso," katanya.

-- BERNAMA