PUTRAJAYA: Pelarasan tarif air bagi Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan yang berkuat kuasa pada 1 Feb ini adalah munasabah serta akan memberi manfaat melalui tahap perkhidmatan bekalan yang lebih baik kepada pengguna di negeri terbabit.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata susulan pelaksanaan pelarasan tarif itu, pengguna akan dapat menikmati tahap serta kualiti perkhidmatan lebih baik seperti kualiti air terawat yang lebih memuaskan selain penurunan dalam insiden gangguan bekalan.

"Pengguna dapat menikmati kemudahan penyediaan kemudahan infrastruktur bekalan air yang lebih baik dan ini dapat menangani krisis gangguan air yang sering berlaku," katanya pada sesi bertemu media mengenai pelarasan tarif air di sini semalam.

"Namun pengguna juga kena faham bahawa bukan semua manfaat daripada penambahbaikan ini dapat dirasai dalam jangka pendek... seperti pihak operator dapat menjalankan projek membaik pulih sistem perpaipan yang mengambil masa setahun dan impaknya mungkin hanya dapat dirasai oleh pengguna secara beransur-ansur selepas tempoh berkenaan," katanya.

Beliau berkata kedudukan kewangan defisit boleh menjejaskan operasi harian operator dan perancangan pembangunan infrastruktur tidak dapat diteruskan serta mengakibatkan penurunan kualiti dan tahap perkhidmatan kepada pengguna.

Akmal Nasrullah berkata bagi meminimumkan impak peningkatan perbelanjaan pengguna, kerajaan negeri dan syarikat operator disaran meneruskan inisiatif sedia ada bagi membantu golongan terkesan terutama golongan B40.

Beliau berkata setakat ini, lapan syarikat operator bersetuju membantu golongan itu supaya tidak terkesan ekoran pelarasan kadar tarif tersebut antaranya dengan melaksanakan pemberian rebat.

"Ada negeri yang sememangnya mengguna pakai senarai data sedia ada sebagai contoh eKasih manakala untuk jangka panjang, apabila sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap dan mengikut ketetapan kerajaan bagi bantuan secara bersasar, kita akan minta senarai diselaraskan supaya segala manfaat sampai kepada mereka," katanya.

PADU dilancarkan pada 2 Jan lepas untuk menjadi sumber primer kerajaan dalam pengagihan subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan pelarasan tarif air bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan berkuat kuasa pada 1 Feb, melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.



AKMAL-PENGGUNA 3 (AKHIR) PUTRAJAYA



Menurut SPAN, kadar tarif air tidak boleh diseragamkan untuk setiap negeri kerana kos untuk operator yang menawarkan perkhidmatan serta keperluan pembangunan infrastruktur di negeri masing-masing adalah berbeza.

Menerusi taklimat semasa sesi berkenaan, SPAN memaklumkan pelarasan tarif air bagi kategori domestik, yang ditetap berdasarkan Mekanisme Penetapan Tarif bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran, diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Dis lepas.

Pihak SPAN berkata pelarasan itu adalah bagi menangani isu semasa terutama membabitkan tahap perkhidmatan penyediaan bekalan air yang lebih cekap, berkualiti dan berterusan oleh syarikat operator selain menggalakkan pemuliharaan air di Malaysia.

Air Selangor dijangka menjana pendapatan tertinggi iaitu sebanyak RM105 juta setahun yang dirancang untuk menyelesaikan isu kerosakan paip dan meningkatkan kualiti air di seluruh Lembah Klang, dengan cadangan penggantian 300 kilometer paip setahun bermula tahun ini serta dijangka siap pada 2026.

Pulau Pinang pula dijangka menjana RM86 juta pendapatan setahun yang dirancang untuk mengurangkan Air Tidak Terhasil (NRW) dengan penggantian paip bagi mengurangkan kadar paip bocor dan menyelesaikan isu kecukupan bekalan air negeri itu.

-- BERNAMA