MALAYSIA
Pelarasan tarif air Negeri Sembilan tidak bebankan rakyat - Aminuddin

Aminuddin ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN: Pelarasan tarif air di Negeri Sembilan tidak akan membebankan rakyat sebaliknya mereka bakal menerima manfaat perkhidmatan yang lebih baik pada masa depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ringkasan AI
- Pelarasan tarif air di Negeri Sembilan dijamin tidak membebankan rakyat, dengan subsidi kekal untuk 40 meter padu pertama dan kadar pengguna domestik masih rendah berbanding kos sebenar.
- Hasil tarif baharu akan digunakan untuk naik taraf perkhidmatan air, termasuk pengurusan Air Tidak Terhasil, penggantian paip, dan penyelesaian hutang RM700 juta berkaitan projek bekalan air.
- Kerajaan negeri menyeru rakyat memahami rasional kenaikan tarif, yang diselaraskan bersama PETRA dan negeri lain, demi kelestarian bekalan air jangka panjang dan kecekapan operasi.
"Hasil daripada tarif baharu ini nanti kita dapat melaksanakan pengurusan Air Tidak Terhasil dengan lebih baik dan penggantian paip menyeluruh sekali gus membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan air di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kibarkan Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Aminuddin berkata kos operasi kini meningkat dengan ketara akibat kenaikan tarif elektrik yang menambah beban sebanyak RM700,000 sebulan sejak Julai lepas untuk pam air terutama bagi sektor komersial dan industri.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi pengguna domestik, kadar subsidi masih dikekalkan untuk 40 meter padu iaitu 20 meter padu pertama diberi subsidi penuh manakala 20 meter padu seterusnya dikenakan kadar minimum.
"Kita hanya ambil keuntungan sekitar 10 sen sahaja daripada kos rawatan dan pengurusan air, walaupun tarif dinaikkan pengguna domestik masih menikmati kadar yang lebih rendah.
"Kos sebenar rawatan air di negeri ini adalah antara RM1.10 hingga RM1.15 setiap meter padu tetapi pengguna hanya dikenakan sekitar 70 sen sahaja bermakna kerajaan masih menanggung subsidi lebih 40 sen," katanya.
Justeru, beliau menasihatkan rakyat di negeri ini untuk memahami rasional kenaikan tersebut dan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan kelestarian bekalan air jangka panjang.
Semalam, media melaporkan kadar tarif air bagi pengguna domestik hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dinaikkan bermula 1 Ogos, susulan pewartaan struktur baharu tarif air diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Kenaikan itu melibatkan peningkatan kadar purata sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu, menjadikan kadar baharu RM2.75 berbanding RM2.55 sebelum ini. Pelarasan itu bagaimanapun, tidak melibatkan Perak bagi kategori pengguna domestik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami