BANGKOK: Warganegara asing akan dikecualikan daripada mengemukakan Borang TM.6 untuk sementara waktu ketika memasuki atau keluar dari Thailand di pusat pemeriksaan imigresen berkuat kuasa 15 April hingga 15 Oktober.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Karom Phonphonklang berkata keputusan itu bertujuan merangsang sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan.

"Ia bagi memberi kemudahan kepada pelancong sepanjang tempoh ini. Ia bertujuan merangsang pelancongan dan ekonomi serta mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan imigresen," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Luar telah merangka pengumuman Kementerian Dalam Negeri untuk membenarkan kategori warga asing tertentu memasuki Thailand sebagai kes khas tanpa perlu mengemukakan Borang TM.6 dalam tempoh tersebut.

Borang TM.6 adalah dokumen yang digunakan untuk mengumpul maklumat mengenai pelawat asing untuk tujuan pemeriksaan dan pemantauan, yang bertujuan untuk mengekalkan keselamatan negara.

Justeru, Karom berkata agensi keselamatan berkaitan di Thailand akan bertanggungjawab memantau dan menilai kesan pengumuman itu selepas tempoh enam bulan.

"Sekiranya terdapat sebarang kesan terhadap keselamatan dan manfaat negara, agensi-agensi ini boleh mencadangkan pembatalannya kepada Kabinet," katanya.

-- BERNAMA