KUANTAN: Seorang pelayan kedai makan maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawal dan bergesel bahagian sisi tayar belakang kiri sebuah lori di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran tangki air Semambu malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Muhammad Zharif Abd Aziz, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami pelbagai kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 28 tahun dari arah Gambang menghala ke Kemaman.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba motosikal ditunggangi mangsa dari arah sama telah bergesel pada bahagian sisi tayar belakang kiri lori terbabit.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang beralamat di Balok Makmur dekat sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat manakala pemandu lori dan kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

"Keadaan lurus dan sistem jalan dua lorong sehala. Terdapat satu lorong susur di sebelah kiri jalan. Permukaan jalan rata dan jalan kering.

"Tahap pencahayaan gelap berlampu dan cuaca baik semasa sampai di tempat kejadian," katanya. - Sinar Harian