Walaupun sektor ekonomi dan sosial berubah secara keseluruhan akibat pandemik COVID-19 namun virus yang mengancam nyawa itu telah menyatukan pelbagai pihak.

Keprihatinan terhadap barisan hadapan dapat dilihat menerusi pengagihan barangan keperluan seperti topeng muka, makanan dan keperluan Ramadan serta Aidilfitri.

Antara yang turut menzahirkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah SIPP-YTL JV, sebuah sebuah anak syarikat milik YTL Construction dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB (PLBEGJB).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YTL Construction (Rail Division), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, pengorbanan yang diberikan oleh barisan hadapan dalam usaha melumpuhkan penularan virus ini juga harus dihargai dan disanjung tinggi.

SIPP-YTL JV menyerahkan sumbangan topeng muka kepada PBT di Johor.

"Kami membantu barisan hadapan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom di Kluang, Johor melalui pemberian bantuan makanan sarapan pagi sepanjang tempoh PKP.

"Inisiatif ini diteruskan pada bulan Ramadan menerusi sumbangan juadah berbuka puasa dan sahur," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas Azmi, barangan keperluan turut diagihkan kepada 200 balu dan bekas pesara polis di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, sebagai tanda penghargaan ke atas pengorbanan mereka menjaga keamanan negara.

Penghargaan SIPP-YTL JV kepada pihak polis kerana usaha menjaga keamanan negara.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anggota keluarga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut tidak dilupakan menerima sumbangan daripada SIPP-YTL JV serta PLBEGJB.

Sumbangan barangan keperluan harian kepada anggota keluarga barisan hadapan.

"Berhadapan dengan pandemik global ini, kita memerlukan kerjasama daripada semua pihak tanpa mengira pangkat dan darjat.

"Malah satu bentuk hubungan baru di antara pemimpin, rakyat, perkhidmatan awam dan swasta, institusi sosial perlu dibentuk bagi memastikan kita menang memerangi wabak ini," katanya.