Pasukan khas yang ditubuh untuk menangani peningkatan kes denggi akan disertai pelbagai agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan pasukan itu dilihat dapat mengurangkan kebimbangan umum dan membendung peningkatan kes demam denggi dengan kadar segera.

"Pasukan itu akan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain disertai menteri-menteri dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kerja Raya,'' katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas Najib lagi, pasukan itu juga disifatkan dapat melaksanakan langkah-langkah pencegahan dengan lebih berkesan di seluruh negara.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, kes kematian akibat demam denggi di negara ini meningkat 228 peratus apabila sebanyak 82 kes dicatatkan berbanding 25 kes di sejak Januari hingga 21 Jun lalu.

Ia melibatkan 42,229 kes dilaporkan yang mana menyaksikan peningkatan 248 peratus berbanding 12,143 kes bagi tempoh yang sama.

Jelas Subramaniam, sepanjang minggu ke-25 iaitu bermula 15 hingga 21 Jun lalu, sebanyak 2,021 kes dicatatkan berbanding 1,797 kes pada minggu sebelumnya yang mana menunjukkan peningkatan 224 kes (12.5 peratus) dengan melibatkan empat kematian.

Katanya, Selangor merupakan antara negeri paling banyak dilaporkan demam denggi apabila mencatatkan 24,197 kes dengan 32 kematian berbanding 5,292 kes dengan enam kematian bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Sejumlah 453 lokasi wabak denggi dikesan di seluruh negara yang mana daripada jumlah itu, sebanyak 75 kawasan panas (hotspot) dicatatkan melibatkan 64 kawasan di Selangor, Negeri Sembilan (tujuh), Kelantan (tiga) dan Sarawak (satu).