Tangisan enggan ditinggalkan ibu bapa, berkepit dengan beg baharu, mengantuk, berkenalan dengan rakan baharu antara gelagat segelintir pelajar pada hari pertama persekolahan tahun 2016 di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor yang bermula hari ini.

Negeri-negeri lain akan memulakan persekolahan esok.

Sesi persekolahan tahun ini di keempat-empat negeri itu jauh lebih baik daripada tahun lepas, yang terjejas ekoran banjir teruk hingga sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan seminggu serta menggunakan pusat pemindahan banjir sebagai sekolah sementara.

Walau bagaimanapun Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Pendidikan Daerah (JPD), terutama di kawasan berisiko banjir, diarah membuat persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir bagi mengurangkan kerosakan dan kerugian.

Di KEDAH, seramai 31,128 murid Tahun Satu memulakan persekolahan di 547 sekolah rendah selain 32,866 pelajar pula memulakan sesi Tingkatan Satu di 200 sekolah menengah di negeri tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan ketika melawat Sekolah Kebangsaan Laguna Merbok, Sungai Petani menasihatkan agar pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk mengekalkan kerjasama baik bagi melancarkan urusan berkaitan persekolahan pada tahun ini.

Sebahagian gelagat murid tahun satu pada perhimpunan pagi pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Gerigih dekat Alor Setar. Seramai 31,128 murid tahun satu di Kedah memulakan sesi persekolahan 2016 mereka, Ahad.

Di KUALA TERENGGANU, jumlah pelajar Tahun Satu berkurangan pada tahun ini berbanding tahun lepas, hanya seramai 18,535 murid mendaftar di 351 sekolah rendah di seluruh Terengganu.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata pada tahun lepas 20,643 murid Tahun Satu mendaftar.

"Berikutan pengurangan jumlah pelajar Tahun Satu, tahun ini hanya terdapat 713 kelas berbanding 834 kelas pada tahun lepas," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata mengikut kebiasaan, jumlah itu akan berubah berikutan proses pertukaran dan pendaftaran murid dari luar yang masih berjalan.

Pelajar tahun satu, Khun Krissadorn a/l Pricha yang demam terpaksa didukung ibunya Chee Siew Chean, 36, ketika tinjauan sesi persekolahan baru 2016 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kou Hua, Ahad. - Foto Bernama

Di JOHOR, seramai 56,585 murid daripada 597 sekolah rendah memasuki darjah satu di seluruh negeri hari ini.
Tinjauan Bernama di beberapa sekolah di sekitar bandar raya ini mendapati pelbagai reaksi dan emosi ditunjukkan murid Tahun Satu yang baru memulakan persekolahan hari.

Ada antara mereka teruja dan bersemangat, serta saling mengusik rakan-rakan yang baru dikenali, dan ada juga yang bersedih kerana masih belum membiasakan diri dengan persekitaran sekolah masing-masing.

Turut hadir membuat lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik dan SK Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Baharu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Penerangan Pembangunan, Usahawan dan Koperasi Negeri Johor Md Jais Sarday.

Sementara itu di MUAR, Timbalan Menteri Pendidikan II Senator Chong Sin Woon turut melawat pelajar dan guru-guru pada hari pertama persekolahan sesi 2016 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Pu Nan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Dr Ismail, kedua-duanya di Bukit Bakri, Muar.

Pelajar tahun satu Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pu Nan, Lui Yu Tek ceria ketika dirakam gambarnya pada hari pertama sesi persekolahan di sekolah itu, Ahad. - Foto Bernama

Di KOTA BAHARU, sebilangan besar murid di pedalaman Gua Musang gagal melaporkan diri pada hari pertama persekolahan hari ini berikutan jalan terputus akibat hujan yang menyebabkan kenderaan tidak dapat melalui kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan Datuk Ab Aziz Abdullah berkata laporan yang diterima pihaknya mendapati kesemua murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi tidak dapat melaporkan diri ke sekolah.

"JPN belum mengenal pasti jumlah sebenar murid dan sekolah yang terlibat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di SK Kubang Kerian 3 di sini, hari ini.

Beliau berkata JPN Kelantan akan berhubung dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara berkenaan selain pihaknya turut difahamkan kakitangan Jakoa juga tidak dapat masuk ke kawasan pedalaman berikutan jalan licin walaupun menggunakan pacuan empat roda.

Pengarah Pendidikan Kelantan,Datuk Ab Aziz Abdullah (dua, kanan) menyambut murid prasekolah menyeberangi sungai menggunakan jet float (jambatan sementara) dengan bantuan anggota Batalion 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ketika meninjau jambatan yang menghubungkan Kampung Pemberian dengan Kampung Manjor hari ini.

Semalam, Ab Aziz dilaporkan berkata 27,544 murid Tahun Satu di Kelantan akan memulakan sesi persekolahan 2016 bermula hari ini di 418 sekolah rendah, dengan jumlah keseluruhan 172,847 murid.

Selain itu, seramai 114,010 pelajar sekolah menengah tingkatan satu hingga hingga tingkatan enam juga akan memulakan sesi persekolahan 2016 di 592 sekolah menengah di seluruh negeri ini.

Dalam pada itu, Ab Aziz turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia yang melaksanakan Op Murni bagi mengangkut 80 murid, pelajar dan guru SK Pemberian dan SK Laloh di Kuala Krai selepas jambatan yang menghubungkan Kampung Pemberian dan Kampung Manjor roboh akibat dilanda banjir minggu lepas.