KUALA LUMPUR: Keupayaan sesebuah negara melaksanakan transformasi digital dan mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam merangsang inovasi dan meningkatkan produktiviti serta daya saing kini menjadi antara kayu ukur dalam menarik pelaburan asing.
Perkara ini jelas ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Malaysia bergerak pantas membina ekosistem AI terutamanya untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang itu bagi memenuhi kehendak syarikat gergasi teknologi yang menyatakan minat untuk melabur di negara ini.
Keseriusan kerajaan dalam membangunkan ekosistem AI dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif seperti 'AI Untuk Rakyat' yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang teknologi itu dan AI Sandbox 2024 yang menyasarkan penubuhan 900 syarikat pemula AI dan 13,000 bakat baharu menjelang 2026.
Pada Jumaat, Perdana Menteri melancarkan tiga lagi inisiatif iaitu Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030, Fakulti AI (FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Konsortium AI Malaysia (MAIC).
Penyelidik Pusat AI dan Robotik UTM Prof Dr Ahmad 'Athif Mohd Faudzi berkata ketiga-tiga inisiatif berkenaan mengambil kira aspek keseluruhan dalam pembangunan ekosistem AI dan akan menjadi pelengkap antara satu sama lain.
"Saya berpandangan Perdana Menteri sangat serius dan melihat perkembangan teknologi semasa sebagai pemacu ekonomi negara. Dalam perkembangan yang pesat di negara-negara Barat dan China contohnya, kita perlu menggembleng dan meningkatkan keupayaan pakar dari kalangan warga Malaysia untuk memacu ekonomi dengan teknologi AI dan robotik," katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Ahmad 'Athif program Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030 meliputi perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang dibantu dengan penubuhan FAI yang menawarkan program Sarjana Muda AI dengan kemasukan pertama pelajar pada Oktober tahun ini.
Tambahnya program Sarjana Muda AI itu akan disusuli oleh program lain yang akan ditawarkan di universiti awam dan swasta lain.
"Penubuhan MAIC pula mengambil kira cakupan pakar semasa dari pelbagai universiti dan industri dalam bidang AI serta bidang-bidang berkaitan untuk memberi nasihat, kepakaran dan juga sumbangan kepada pembangunan bakat dan FAI tadi," kata Ahmad 'Athif.
Sementara itu Timbalan Dekan Fakulti Sains Data dan Komputeran, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Hadhrami Ab Ghani berkata penekanan Perdana Menteri supaya Malaysia memacu penggunaan dan perkembangan AI sangat tepat pada masanya memandangkan teknologi itu telah dan sedang dibangunkan dengan pesat di seluruh dunia.
"Tanpa penekanan serius seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, maka Malaysia akan tertinggal ke belakang dan sukar untuk menyaingi negara lain, sedangkan negara ini sudah mula menunjukkan petanda positif dalam pertumbuhan ekonomi dengan menerima pelbagai pelaburan dari luar negara sejak pentadbiran Perdana Menteri ke-10," katanya.
Hadhrami berkata AI juga terbukti mampu mempercepat dan memudahkan pelbagai urusan khususnya dalam aktiviti ekonomi dan industri yang sedang memecut laju di seluruh dunia.
Justeru katanya perkembangan ekonomi kognitif yang berteraskan AI memerlukan persiapan dan kefahaman menyeluruh dalam kalangan masyarakat yang dapat disediakan melalui fakulti AI dan konsortiumnya seperti digagaskan kerajaan.
Bagi memacu perkembangan dan penggunaan AI seiring negara-negara lain, beliau menyarankan supaya kajian segera dan menyeluruh disediakan untuk melihat aspek kemahiran terutamanya bagi aplikasi AI yang perlu dalam pelbagai bidang untuk mendapat manfaat maksimum.
"Semua pihak yang dipilih untuk menggalas tugas menobatkan penggunaan AI ini perlulah mempunyai kelayakan, kesungguhan dan ketelusan selain dipandu dan dipantau oleh pihak yang berautoriti di kementerian atau di peringkat yang berkenaan.
"Kerjasama erat sangat perlu antara semua agensi, pemegang taruh yang terlibat. AI bukan perkara baharu, ramai pakar di Malaysia yang boleh dimanfaatkan khususnya dari universiti dan industri," katanya.
Mengenai penubuhan Fakulti AI di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau berpendapat fakulti itu wajar diperluas ke universiti yang lain supaya dapat membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempelajari AI, malah ia juga dilihat tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana hampir seluruh universiti di negara ini memiliki pakar dalam bidang itu.
"Aplikasi AI kini semakin merentas bidang dan tidak hanya tertumpu kepada pelajar aliran komputer dan sains komputer. Justeru sambutan terhadap Fakulti AI ini, jika diperluas ke seluruh Malaysia, berkemungkinan besar akan menjadi hangat selain faktor popularitinya," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Sat May 11 2024
Keupayaan sesebuah negara melaksanakan transformasi digital dan mengadaptasi teknologi AI dalam merangsang inovasi dan meningkatkan produktiviti serta daya saing kini menjadi antara kayu ukur dalam menarik pelaburan asing. - Gambar hiasan
Vincente kekal optimis walaupun tewas 0-1 kepada Thailand
Pengendali kelahiran Sepanyol itu menyatakan rasa bangga terhadap prestasi pemainnya, terutama sekali menentang juara bertahan kejohanan itu.
Mesir, pegawai AS bincang usaha gencatan senjata di Gaza
Presiden Sisi menekankan keperluan segera untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Tiga ditahan, pelbagai dadah bernilai RM44,200 dirampas
Semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah narkotik.
Banjir: Jumlah mangsa kekal 47 orang di dua negeri
Dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka melibatkan dua negeri.
Malaysia pilih jalan sukar, tewas 0-1 kepada Thailand
Malaysia wajib menang menentang Singapura pada 20 Dis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Simposium Legenda Puteri Santubong dianjur tahun depan - Nancy
Datuk Seri Nancy Shukri berkata simposium itu bakal dianjurkan dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia.
Inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak satu peluang luar biasa - TYT
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Sarawak memerlukan ramai tenaga mahir, untuk mencapai visi menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030.
Rakyat Jepun bantah keganasan seksual tentera Amerika Syarikat
Rakyat Jepun pada petang Jumaat berhimpun di luar Kementerian Luar di Tokyo untuk membantah keganasan seksual oleh anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara itu.
Indonesia sediakan sistem keselamatan siber sokong transformasi digital
Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital sedang menyediakan sistem keselamatan siber bagi menyokong pelaksanaan transformasi digital di Indonesia.
Ekonomi ASEAN mengalami pertumbuhan stabil pada 2024 di sebalik cabaran
Asia Tenggara muncul sebagai antara rantau dengan pertumbuhan ekonomi paling pesat di dunia.
Pelbagai inisiatif bukti kerajaan serius pacu perkembangan AI
Keupayaan sesebuah negara melaksanakan transformasi digital dan mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara kayu ukur dalam menarik pelaburan asing.