KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyasarkan pelaksanaan 500 program dengan penglibatan sekurang-kurangnya 10,000 peserta menerusi Program Dakwah Negara (PDN) 2026 yang memberi penekanan kepada pembinaan adab, keharmonian masyarakat dan penggunaan teknologi dalam menyampaikan mesej dakwah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, PDN 2026 bertemakan “Membangun Adab, Membina Negara” yang berlangsung di seluruh negara dari 1 Okt hingga 31 Dis ini akan dilaksanakan menerusi pelbagai aktiviti fizikal dan digital.
Beliau berkata, pendekatan dakwah perlu terus disesuaikan dengan perubahan semasa bagi memenuhi keperluan masyarakat serta membantu menangani isu yang dihadapi.
“Program dakwah negara ini akan berterusan dengan pelbagai aktiviti, program dan juga inisiatif di seluruh negara yang telah digerakkan.
“Alhamdulillah, kita nampak bagaimana kesan dan impaknya yang sangat baik untuk memberikan pencerahan, kecerdasan dan juga membimbing masyarakat ke arah kebaikan,” katanya pada pemberita selepas merasmikan PDN 2026, di sini, pada Sabtu.
Zulkifli berkata, pelaksanaan PDN 2026 berpandukan lima teras utama iaitu Adab Keluarga dan Pembangunan Insan, Adab Bermasyarakat dan Keharmonian, Adab Kepimpinan dan Kenegaraan, Adab Ilmu dan Pemikiran serta Adab Digital dan Media Sosial.
Beliau berkata, kelima-lima teras itu bertujuan memperkukuh nilai adab dalam kehidupan masyarakat, selain memastikan mesej dakwah dapat disampaikan menerusi pendekatan yang bersesuaian dengan perkembangan semasa, termasuk melalui platform digital.
Turut hadir Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasan Bahrom; Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Perkaderan YADIM, Mahadi Awang; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam Yahya serta Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Zabidi Nasan.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, Malaysia bakal menjadi tuan rumah Persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) ke-27 di Putrajaya dari hujung November hingga 3 Dis ini yang akan menghimpunkan ulama dari 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada negara kita dan kita perlu mengambil peluang kerana dengan himpunan ulama ini, insya-Allah kita akan dapat keberkatan dan kita boleh mendapatkan manfaat daripada keilmuan dan kesarjanaan,” katanya.
-- BERNAMA