JELEBU: Kira-kira 390,000 benih ikan asli termasuk udang galah dilepaskan di perairan Negeri Sembilan setakat bulan ini, kata pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) Halimi Abu Hanip.

Halimi berkata, pelepasan benih ikan itu antaranya lampam sungai, tapah, puyu dan baung ke perairan sungai di seluruh negeri, membabitkan kos RM99,000.

"Pelepasan ikan itu bertujuan memelihara sumber perikanan di sungai, serta dimanfaatkan komuniti terutama nelayan dan orang awam.

"Usaha ini bagi memastikan bekalan sumber ikan asli sentiasa ada dan tidak mengalami kepupusan," katanya kepada Bernama selepas melakukan pelepasan 400 benih ikan kelah ke Sungai Kenaboi, Taman Negeri Kenaboi, di sini.



Beliau berkata, setakat ini spesies ikan asli di negeri ini masih terpelihara namun isu pencemaran, penangkapan ikan tidak terkawal, aktiviti meracun serta kejutan elektrik untuk menangkap hidupan air itu, merosakkan ekosistem dan sumber perikanan di sungai berkenaan.

Katanya bagi mengatasi masalah itu, rondaan bersama orang kampung dipergiatkan selain memperbanyakkan aktiviti kesedaran seperti program pelepasan ikan dengan komuniti, bagi memupuk perasaan sayang dan menghargai ikan-ikan tempatan.

Dalam pada itu Halimi berkata, bekalan benih ikan kelah diperoleh daripada pengeluar benih ikan kelah di Jelebu, serta sumbangan daripada pihak Institut Penyelidikan Perikanan Air Tawar Glami Lemi, Jelebu. -- BERNAMA