SEJAK Sabtu lalu, pelumba CKJ Racing Team iaitu Md Izzat Zaidi MD Salehan masih dalam keadaan koma dan kritikal selepas terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan Cub Prix Malaysia.

Isteri kepada Izzat iaitu Elysha Norazlan meluahkan rasa rindu dan berharap suaminya kembali pulih demi anak-anak mereka.

“B bangun la b, sayang rindu… anak-anak pun rindu. Saya tahu awak kuat kan sayang. Anak-anak tunggu daddy dekat rumah tu, Allahuakhbar. Kami rindu sangat dekat awak,” luahnya di beberapa posting di laman sosial.

Sementara itu, Elysha menerusi perkongsian di Instagram turut memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan kesembuhan buat suaminya itu.

Menurut Elysha, Izzat kini bergantung sepenuhnya pada mesin bantuan pernafasan dan telah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru selepas menjalani pembedahan.

“Assalamualaikum, saya isteri kepada Md Izzat Zaidi ingin memohon doa kalian agar diberikan keajaiban serta kesembuhan buat suami saya.

“Izzat telah menjalani pembedahan disebabkan banyak kecederaan di bahagian paru-parunya dan sebahagian tulang rusuk yang patah. Izzat kini bergantung 100% pada mesin bantuan pernafasan dan buat masa sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Keadaannya sangat kritikal. Semoga Allah S.W.T mudahkan urusan dan angkat segala penyakit beliau,” kongsinya.

Terdahulu, Izzat dilaporkan mengalami kecederaan yang teruk seperti patah tulang rusuk kiri dan pendarahan pada paru-paru selepas terlibat dalam kemalangan sewaktu sesi ‘Super-Pole’ pada perlumbaan Cub Prix Malaysia yang diadakan di Litar Bandar Medini,Iskandar Puteri pada Sabtu.

Menerusi video yang tular, Md Izzat dipercayai melanggar penghadang jalan sebelum terbabas ke pagar keselamatan yang diletakkan di tepi litar. - Gempak