KABUL: Pemain industri perniagaan dalam pelbagai sektor di Malaysia boleh memainkan peranan dalam membantu membangunkan semula ekonomi Afghanistan.

Ini kerana penstrukturan dan perjalanan memperkukuhkan semula ekonomi negara itu memerlukan bimbingan pakar dan tenaga mahir yang berpengalaman.

Penasihat Khas Hal Ehwal Afghanistan di Wisma Putra, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata, inisiatif ini merupakan usul yang dibincangkan semasa pertemuannya dengan pemangku Menteri Perdagangan dan Industri Afghanistan, Nooruddin Azizi.

Tambahnya, inisiatif ini bukan sahaja membolehkan pemain industri di Malaysia mengembangkan perniagaan malah berupaya membantu membangunkan ekonomi negara ini.

“Perlu dinyatakan bahawa cadangan kerjasama ini akan dijalankan menerusi 'people to people engagement' dan usaha ini adalah bagi membolehkan kita membantu pembangunan semula negara ini.

“Kami juga mengintai peluang untuk memulakan kerjasama perniagaan dengan pemain industri di Afghanistan.

“Saya pasti sekiranya wujud interaksi dalam menjayakan kerjasama ini, banyak lagi peluang kerjasama lain yang mungkin boleh diteroka di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama kumpulan media dari Afghanistan tentang potensi mengukuhkan hubungan perdagangan antara Kabul dan Kuala Lumpur di Qala-e-Fathullah di sini pada Selasa.

Ditanya mengenai jalinan kerjasama menerusi hubungan diplomatik dengan kerajaan Afghanistan di bawah Taliban, beliau berkata, Malaysia setakat ini masih belum membuat sebarang keputusan untuk mengiktiraf Afghanistan.

Namun itu tidak menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia untuk menjalankan misi kemanusiaan untuk membantu penduduk di negara ini.

“Ramai yang mungkin bertanya bagaimana inisiatif ini hendak dijayakan kerana Malaysia masih belum mengiktiraf Afghanistan.

“Bagaimanapun, saya hadir ke sini dengan mandat menjayakan misi bantuan kemanusiaan bukan atas kapasiti politik.

“Saya di sini untuk mendapatkan maklumat tentang Afghanistan, tentang masyarakat dan situasi di negara ini secara keseluruhannya.

“Saya pasti di peringkat kementerian di Malaysia mereka akan melakukan penilaian sebelum sebarang keputusan diputuskan,” ujarnya lagi.

Minggu lalu, Ahmad Azam mengetuai delegasi Malaysia bersama beberapa NGO termasuk Golden Horses Digital Investment Bank, Global Peace Mission (GPM) dan Buddha’s Light International Association (BLIA) dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Afghanistan.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menerusi sidang media sebelum melepaskan misi kemanusiaan itu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang menegaskan bahawa misi ini bukan untuk mengiktiraf kerajaan di Afghanistan, sebaliknya hanya untuk memastikan rakyat di negara itu dibantu.