Seorang pemain tarian Singa ditahan kerana disyaki merogol pelajar berusia 14 tahun di sebuah taman permainan berhampiran Kubu Emma dekat sini pada Rabu.

Suspek yang juga duda anak tiga berusia 41 tahun itu ditahan di kediamannya di Jalan Delta sejurus selepas laporan polis dibuat ibu mangsa tengah malam hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Supritenden Tega Bilong berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua telah dibawa oleh suspek ke sebuah taman permainan berkenaan untuk berbual-bual sekitar pukul 5.30 pagi Rabu.

"Ketika mereka berbual di situ, suspek telah mengajak mangsa untuk melakukan hubungan seks dan mangsa tidak melawan apabila seluarnya dibuka sambil pipinya dicium," katanya ketika dihubungi di sini.

Bagaimanpun, kata Tega, mangsa kemudian meminta suspek berhenti melakukan hubungan seks namun tidak diendahkan.

Selepas selesai memuaskan nafsunya sekitar tengah hari, suspek terus bergegas ke lokasi lain untuk mengadakan persembahan tarian singa.

"Selepas pulang ke rumah, mangsa telah disoal oleh ibunya yang mendapat maklumat bahawa mangsa dilihat bersama suspek di taman permainan itu.

"Mangsa cuba menafikan ada melakukan hubungan seks dengan suspek namun akhirnya mendedahkan hal sebenar selepas dipaksa oleh ibunya," jelas Tega.

Tega berkata, mangsa merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan masih bersekolah.

Mangsa difahamkan telah menjalin hubungan dengan suspek sebagai pasangan kekasih sejak mereka berkenalan di pekan Kanowit awal bulan ini.

Bertindak daripada maklumat, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ IPD) Kanowit pergi ke sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Delta dan berjaya menangkap suspek pada jam 1.30 pagi Khamis.

Menurut Tega, mangsa kini telah dirujuk ke Klinik Pakar Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Katanya, suspek pula kini ditahan di lokap Balai Polis Kanowit sementara menunggu perintah reman dikeluarkan pada jam 2 petang Khamis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol kanak-kanak bawah umur,” tambah beliau.