GEORGE TOWN: Kebanyakan pemain utama sektor pelancongan di Pulau Pinang seperti bidang perhotelan serta pengusaha tempat tarikan pelancong, sudah bersiap sedia dengan segala keperluan untuk kembali beroperasi dan menerima pelawat domestik - hanya menunggu keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk melonggarkan sekatan perjalanan merentas sempadan negeri.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata kebanyakan mereka sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap dan ketat dalam usaha mengelak penularan COVID-19 semasa menyambut kehadiran pelancong nanti.

"Saya percaya sebaik sahaja kita (Pulau Pinang) mencapai sasaran vaksinasi penduduk, kebenaran perjalanan merentas sempadan akan menyusul," katanya dalam persidangan media di sini pada Khamis.

Katanya beliau menjangka sekatan perjalanan di negeri ini akan dilonggarkan menjelang pertengahan bulan Oktober nanti apabila 90 peratus penduduk Pulau Pinang selesai menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Diharapkan ketika itu industri pelancongan di Pulau Pinang akan terus berkembang dan ekonomi sektor pelancongan semakin beransur pulih daripada kesan pandemik COVID-19.

Sehingga kini 76.7 peratus penduduk dewasa di Pulau Pinang telah menerima suntikan lengkap vaksin, manakala 18.2 peratus sudah menerima suntikan dos pertama.

Dengan kerjasama Kumpulan Shangri-La dan AIG Malaysia, perlindungan kemalangan peribadi StaySurance menawarkan perlindungan kemalangan peribadi kepada pelanggan staycation dengan manfaat tunai harian rawatan hospital sehingga 100 USD (RM418.20) sehari sekiranya pelanggan disahkan positif bagi jangkitan penyakit berjangkit seperti COVID-19.

Beliau berkata perlindungan kemalangan peribadi itu terpakai bagi semua tujuh hotel Shangri-La di Pulau Pinang, Kuala Lumpur and Sabah.

-- BERNAMA