SEMUA pihak dalam negara kita perlu memastikan segala sijil ataupun dokumen yang dimiliki oleh mereka sama ada yang berkaitan dengan akademik ataupun kemahiran adalah sah dan diperakui pengunaannya dalam negara kita dan bukannya palsu.

Ini kerana sekiranya mereka menggunakan sijil ataupun dokumen yang palsu untuk melakukan atau menjalankan sesuatu perkara seperti untuk mendapatkan sesuatu jenis pekerjaan ia akan menjadi satu perbuatan salah laku (misconduct) yang boleh digunakan sebagai alasan kukuh untuk dibuang dari kerja (dismissal).

Perbuatan terbabit juga boleh dikategorikan sebagai satu perbuatan jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Semenjak akhir–akhir ini banyak kedengaran mengenai isu yang melibatkan penipuan pengunaan sijil atau dokumen palsu yang berlaku dalam negara kita.

Isu penipuan pengunaan sijil ataupun dokumen palsu ini bukanlah satu isu yang jarang kita dengari berlaku dalam negara kita. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, isu penipuan pengunaan sijil ataupun dokumen palsu ini dilihat semakin menjadi–jadi berlaku.

Isu penipuan pengunaan sijil ataupun dokumen palsu ini bukan sahaja berlaku dalam negara kita, malah ia turut berlaku di serata dunia. Tidak dapat dipastikan punca utama berlakunya isu penipuan pengunaan sijil ataupun dokumen palsu ini.

Namun ia dipercayai berlaku kerana beberapa faktor seperti kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang mendesak seseorang itu untuk menipu serta memalsukan sijil ataupun dokumen bagi mendapatkan sesuatu jenis pekerjaan, kemunculan pelbagai jenis teknologi moden pada masa kini juga dikatakan banyak membantu dalam memudahkan proses pengeluaran sijil ataupun dokumen palsu untuk digunakan bagi tujuan menipu, serta untuk tujuan melakukan sebarang jenis perbuatan jenayah seperti penipuan serta bagi menjalankan aktiviti bagi mengelirukan orang awam untuk faedah diri pelaku itu sendiri.

Sekiranya seseorang itu disyaki mengunakan sijil ataupun dokumen palsu untuk menipu bagi mendapatkan sesuatu jenis pekerjaan, pihak majikan boleh melakukan siasatan rapi dan terperinci terhadap tuduhan terbabit.

Sekiranya tuduhan berkenaan didapati benar, pihak majikan boleh mengenakan sebarang jenis hukuman terhadap pekerja terbabit termasuklah hukuman atau tindakan membuang pekerja berkenaan. Penipuan yang telah dilakukan ini boleh dianggap sebagai satu kesalahan atau salah laku yang serius boleh membawa kepada pembuangan pekerjaan terhadap mana – mana pekerja yang telah didapati bersalah melakukan kesalahan penipuan terbabit.

Salah laku yang dilakukan oleh pekerja boleh terbahagi kepada salah laku kecil serta salah laku serius. Pekerja yang didapati bersalah melakukan salah laku kecil selalunya akan diberikan surat peringatan ataupun amaran supaya tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan lagi. Pekerja yang melakukan salah laku serius pula akan berdepan dengan hukuman yang lebih berat termasuklah dibuang dari kerja.

Terdapat pelbagai jenis salah laku serius yang boleh sebabkan seseorang itu dibuang terus dari kerja seperti kesalahan ponteng kerja dengan terlalu kerap tanpa adanya alasan yang munasabah, terlibat dalam sebarang aktiviti atau kegiatan yang jelas salah disisi undang – undang seperti pengambilan bahan terlarang seperti dadah serta melakukan penipuan besar seperti pemalsuan terhadap sijil atau dokumen milik diri mereka.

Selain daripada dibuang kerja, kesalahan penipuan sijil dan dokumen ini juga boleh dianggap sebagai salah satu kesalahan jenayah dan boleh disiasat dan didakwa dibawah Kanun Keseksaan [Akta 574].

Antara seksyen yang boleh dipertimbangkan untuk digunakan bagi tujuan siasatan dan pendakwaan sebarang kes yang melibatkan jenayah pemalsuan sijil ataupun dokumen ini adalah Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574].

Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574] menyatakan tentang kegiatan jenayah pemalsuan ini dengan jelas iaitu “Barang siapa membuat sesuatu surat atau sebahagian surat palsu dengan niat hendak menyebabkan kerosakan atau bencana kepada awam atau kepada seseorang, atau hendak menyokong apa - apa tuntutan atau hak, atau hendak menyebabkan seseorang melepaskan harta atau membuat apa - apa kontrak yang nyata atau yang disifatkan ada, atau dengan niat hendak melakukan tipuan atau supaya tipuan boleh dilakukan, adalah melakukan pemalsuan”.

Seksyen 465 Kanun Keseksaan [Akta 574] pula memperuntukkan hukuman terhadap kegiatan jenayah pemalsuan ini dengan menyatakan bahawa “Barang siapa melakukan pemalsuan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua – duanya”.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya isu penipuan pengunaan sijil ataupun dokumen palsu ini dipandang serius oleh semua pihak dalam negara kita. Ia bagi mengelakkan diri mereka yang terlibat daripada menyesal dikemudian hari kerana boleh berdepan dengan hukuman yang berat.

Pihak majikan perlu memainkan peranan mereka dengan meneliti segala sijil ataupun dokumen yang diberikan kepada mereka. Pihak majikan tidak boleh memandang ringan terhadap perkara ini kerana ia melibatkan reputasi organisasi mereka.

Bahagian sumber manusia disetiap sektor pekerjaan perlu menjalankan proses pengesahan teliti terhadap semua jenis sijil ataupun dokumen yang telah diberikan oleh pekerja bagi memastikan setiap sijil ataupun dokumen yang telah diberikan oleh setiap pekerja mereka adalah sah serta diperakukan untuk pengunaannya dalam negara kita.

Tidak boleh wujud sebarang kompromi dalam soal pengesahan sijil ataupun dokumen akademik ataupun kemahiran yang dimilik oleh seseorang individu dalam negara kita.


* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.