KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita hari ini bagi membantu siasatan mengenai video tular menerusi media sosial memaparkan sebuah kereta Perodua Alza membawa tiga penumpang kanak-kanak secara berbahaya.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata wanita berusia 34 tahun itu merupakan pemandu kereta tersebut dan membawa ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dengan mengeluarkan separuh badan mereka di bahagian penumpang hadapan dan belakang dalam keadaan kenderaan sedang bergerak.

Beliau berkata tingkah laku mereka merupakan satu tindakan yang amat berbahaya dan boleh mendatangkan kemalangan serta membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

Menurut Mohd Zaid, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan jika disabitkan, boleh dihukum penjara selama tempoh tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai diminta supaya sentiasa memastikan keselamatan kanak-kanak dikawal serta dipantau oleh orang dewasa.

"Sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 atau balai polis berdekatan," katanya.

Semalam, satu video tular menerusi media sosial yang memaparkan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu secara berbahaya dengan membiarkan tiga kanak-kanak mengeluarkan badan mereka ketika kenderaan sedang bergerak.

-- BERNAMA