JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan dipercayai tertidur di dalam kereta Audi yang dipandunya ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Tanjung Puteri, di sini, pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait, berkata polis mengesan video kejadian yang tular di Facebook jam 10.06 malam pada hari sama, lapor Sinar Harian.
“Hasil siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu berlaku ketika lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pelayan restoran di sebuah pusat beli-belah dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Mount Austin.
“Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai tertidur ketika berada di dalam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Puteri.
“Seorang anggota polis yang berada berhampiran kemudian menghampiri kenderaan berkenaan dan mengetuk tingkap bagi mendapatkan perhatian pemandu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata pemandu itu tersedar selepas ditegur anggota polis sebelum meneruskan perjalanan secara perlahan.
Bagaimanapun, kenderaan berkenaan kemudiannya didapati bergerak melawan arus menuju ke arah Jalan Jim Quee.
Menurut beliau, ujian saringan alkohol melalui hembusan nafas yang dijalankan terhadap pemandu terbabit mendapati keputusannya negatif.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan isyarat lalu lintas,” katanya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memastikan diri berada dalam keadaan cergas dan selamat sebelum memandu.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna lain,” katanya.